Categories
SELANGOR

MPK sita barangan tamat tempoh

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 7 FEB: Beberapa kedai runcit didapati menjual barangan tamat tarikh luput dan melanggar Akta Makanan 1983 semasa operasi khas Majlis Perbandaran Klang (MPK), semalam.

Yang Di Pertua MPK, Dato’ Mohammad Yasid Bidin berkata, selain menjual barangan yang tamat tarikh luput,turut dikesan kesalahan berkenaan label makanan, tin makanan kemek dan beberapa kesalahan lain.

“Dalam serbuan itu beberapa produk makanan turut disita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yasid berkata operasi dijalankan Bahagian Kualiti Dan Keselamatan Makanan Jabatan Kesihatan MPK itu bertujuan melindungi pengguna daripada bahaya kesihatan serta penipuan dalam penyediaan dan penjualan makanan.

imageSelain itu, katanya operasi berkenaan bertujuan memastikan makanan dijual dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu sentiasa berkualiti, bersih dan bermutu.

Pada masa sama, Yasid mengingatkan pengguna supaya sentiasa berwaspada terutama menjelang musim perayaan dalam aspek membabitkan mutu makanan dan label bungkusan makanan.

“Orang ramai juga perlu memastikan barangan dibeli di dalam tin tidak berkarat, menggelembung atau kemek serta mempunyai tarikh luput bagi mengelakkan masalah berkaitan kesihatan kelak,” katanya.

Yasid berkata, mana-mana premis menjual makanan sudah tamat tarikh luput, rosak, tercemar, tidak berlabel dan tidak mempunyai maklumat lengkap akan berdepan tindakan tegas termasuk sitaan.

Katanya, operasi khas itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

-nR-