Categories
PBT SELANGOR

MPSJ perjelas Draf Undang-Undang Kecil Perkhidmatan Kemajuan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 9 FEB: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan Bengkel Draf Undang-Undang Kecil Perkhidmatan Kemajuan sebagai inisiatif mewujudkan caj perkhidmatan kemajuan kepada pemaju.

Timbalan Pengarah Korporat Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, MPSJ dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain menggunakan secara terus peruntukan yang ada di dalam Akta Jalan Parit Dan Bangunan (Akta 133).

“Walaubagaimanapun, peruntukan itu tidak menyediakan peruntukan mencukupi dan jelas untuk tujuan pelaksanaan.

“Justeru itu, bengkel ini diadakan bertujuan mewujudkan satu punca kuasa bagi MPSJ melaksanakan caj perkhidmatan kemajuan kepada pemaju yang ingin melaksanakan pemajuan di sesuatu kawasan PBT.

“Draf Undang-Undang Kecil Caj Perkhidmatan Kemajuan adalah perlu bagi pelaksanaan teratur dan berlandaskan undang-undang sah,” katanya dalam kenyataan.

Azfarizal berkata, draf tersebut selaras kehendak Akta 133 sendiri dengan PBT boleh mewujudkan Undang-Undang Kecil di bawah akta bagi memperincikan kaedah sedia ada.

“Ia untuk memastikan tindakan PBT mempunyai punca kuasa sah disamping mengelakkan pertikaian dan implikasi perundangan sekiranya tindakan dibuat secara pentadbiran.

“Ia juga bagi memastikan keingkaran atau perlanggaran dikuatkuasakan dengan tindakan perundangan dan membantu meningkatkan hasil PBT bagi menambahbaik kemudahan infra awam,” katanya.

=EZY=