Categories
BERITA UTAMA KENYATAAN MEDIA

PAKATAN sokong gesaan MTUC naikkan dividen KWSP

Pakatan Harapan menyokong gesaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahawa kadar dividen pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dinaikkan lebih tinggi pada 2016.

Bagi Pakatan Harapan kenaikan tersebut selaras dengan masalah kenaikan kos sara hidup, kenaikan kos pengangkutan awam serta kenaikan kadar gaji yang perlahan dan ditambah pula dengan kesan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Keseluruhan 10 juta pekerja sektor swasta mengharapkan dividen lebih baik daripada dana itu kerana ia satu-satunya sumber simpanan mereka.

Kami juga berpendapat tindakan KWSP mengisytiharkan kadar dividen 5.70% bagi 2016, dengan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM37.08 bilion berbanding pada tahun 2015 sebanyak 6.4% aadalah tersasar dengan hasrat kerajaan yang mahu rakyat mempunyai nilai simpanan yang tinggi pada hari tua.

Pakatan Harapan juga melihat bahawa penurunan dividen ini berpunca daripada pelaburan KWSP di dalam syarikat sarat hutang, iaitu 1Malaysia Development Berhad(1MDB) sebanyak RM1.72bilion.

Oleh itu, Pakatan Harapan menggesa supaya KWSP segera melupuskan pegangan dan pelaburan dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terutamanya dalam bon-bon bagi melindungi kepentingan pencarum. KWSP kini berdepan masalah kewangan yang akhirnya memberi kesan kepada pencarum dan pendepositnya. Pelaburan KWSP sebanyak RM1.72 bilion adalah satu jumlah yang besar, apatah lagi bila dana ini adalah simpanan wang rakyat yang diuruskan oleh KWSP.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani menyatakan bahawa pelaburan KWSP di dalam 1MDB tidak memberi sebarang risiko. Namun bon 1MDB yang dipegang oleh KWSP melibatkan kadar faedah yang jauh lebih tinggi dari bon-bon institusi kerajaan sehingga mencecah dua kali ganda lebih tinggi iaitu 9.85 peratus.

Masalah kewangan 1MDB telah menjadi satu risiko kewangan besar bukan sahaja kepada syarikat itu, malah kepada keseluruhan Perbendaharaan Negara. Lebih-lebih lagi 1MDB berhadapan dengan risiko “cross default” (kegagalan berturut-turut membayar hutang apabila 1MDB gagal membayar satu hutang) yang boleh membawa kesan besar kepada sistem kewangan negara.

Selain KWSP, Pakatan Harapan menyeru agensi kerajaan seperti Tabung Haji dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) juga melupuskan pegangan dan pelaburan di dalam 1MDB bagi melindungi kepentingan pencarum.

PAKATAN HARAPAN:

Dr. Dzulkefly Ahmad
Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Wong Chen
Parti Keadilan Rakyat (PKR)

YB Teresa Kok
Parti Tindakan Demokratik
(DAP)