Categories
SELANGOR

Dekati rakyat bukan waktu PRU sahaja- Rajiv

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 12 FEB: Usaha membantu keperluan kebajikan rakyat tidak dijalankan menjelang waktu kempen pilihan raya sahaja, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran.

Sebaliknya beliau menegaskan, gerak kerja tersebut giat dilaksanakan bersama pejabat pusat khidmat Bukit Gasing selepas mendapat mandat daripada rakyat pada pilihan raya lalu.

“Program di peringkat DUN saya sudah dimulakan sejak empat tahun lepas dan akan diteruskan ke peringkat akar umbi untuk bantu rakyat memerlukan.
“Keutamaan bagi DUN Bukit Gasing untuk terus memahami keperluan rakyat dan saya sebagai wakil rakyat akan membawa suara mereka demi kesejahteraan hidup yang lebih baik,” katanya kepada pemberita.

RajivBeliau berkata, sepanjang tempoh menjalankan amanah, beliau optimis pembangunan Bukit Gasing dan Petaling Jaya semakin bertambah baik.

Ini termasuklah pelaksanaan pembangunan semula kawasan industri kepada pembangunan komersial di Seksyen 13 Petaling Jaya serta rancangan pembangunan kawasan cerun di Seksyen 5.

Malah tidak dilupakan kejayaan terbesanya menyelesaikan masalah lalu lintas membabitkan jalan utama di Bukit Gasing dan keprihatinannya berhubung isu aduan penduduk setempat membabitkan pembinaan kondominium Petalz Resident.

“Demi kebajikan rakyat, saya akan terus ‘agresif’ untuk turun padang dan membantu menyelesaikan masalah mereka,” katanya.

Rajiv mula memegang kerusi DUN Bukit Gasing atas tiket DAP selepas menewaskan tiga calon lain dengan majoriti, 15,842 undi.

Sebelum menjadi ADUN, Rajiv pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) daripada tahun 2008 hingga 2013.

Terdahulu, Rajiv ditemui media pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina peringkat Parlimen dan Dun Petaling Jaya, di sini, semalam.

Dalam perkembangan itu, kira-kira 5,000 pengunjung hadir memeriahkan program.

=EZY=