Categories
PBT SELANGOR

Pejabat bergerak MBSA di Bukit Rimau hujung minggu ini

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 FEB: Pejabat Bergerak ‘Shah Alam On Wheel’ (SAOW) bakal beroperasi di perkarangan tempat letak kereta AEON Big, Bukit Rimau, Seksyen 32, pada 4 Februari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, ia memberi peluang kepada orang ramai berurusan pada cuti hujung minggu tanpa perlu hadir ke kaunter.

Katanya, antara perkhidmatan ditawarkan adalah semakan dan pembayaran cukai taksiran, semakan serta pembayaran kompaun tempat letak kereta, kaunter aduan juga jualan kupon parkir.

“Diharap orang ramai dapat mengambil peluang ini untuk mempermudahkan urusan mereka di MBSA.

“Kami juga berharap inisiatif ini dapat memantapkan lagi sistem perkhidmatan MBSA untuk manfaat masyarakat,” katanya.

Waktu pengoperasian pejabat bergerak itu bermula dari 11 pagi hingga 5 petang.

Pada 2014, SAOW mula diperkenal bagi memberi kemudahan kepada orang ramai berurusan di luar hari bekerja iaitu pada hujung minggu.

MBSA berjaya mengutip sejumlah RM490,404 menerusi perkhidmatan SAOW sepanjang tahun lalu.

=EZY=