Categories
SELANGOR

RM1 juta tingkat pelan keselamatan MBPJ

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 13 FEB : RM1 juta diperuntukan bagi tujuan penambahbaikan Pelan Induk Keselamatan 2015-2020 Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, RM6,000 ditawarkan kepada persatuan penduduk di bawah seliaan pihak majlis bagi penganjuran program keselamatan setempat.

“MBPJ menggalakan sebarang usaha persatuan penduduk mewujudkan program keselamatan didukung sepenuhnya pihak majlis dari segi bantuan peruntukan RM6,000 bagi setiap program.

azizi-mbpj“Permohonan tahun ini lebih tinggi berbanding tahun lalu, dan peruntukan hampir sejuta yang kami terima ini akan digunakan untuk peningkatan kempen kesedaran keselamatan di MBPJ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina peringkat Parlimen dan Dun Petaling Jaya pada Sabtu.

Sebelum ini, MBPJ menerima peruntukan sebanyak RM479,488,450 pada pembentangan Belanjawan 2017 lalu.

Daripada jumlah itu, RM339,604,70.8 dicadangkan bagi tujuan belanja mengurus sementara RM139,883,960,29.2 untuk belanja pembangunan.

Dalam perkembangan itu, Mohd Azizi berkata, Jawatankuasa Penduduk dan Persatuan Penduduk sekitar MBPJ perlu mengemukakan borang permohonan lebih awal bagi penganjuran program keselamatan di persekitaran kediaman masing-masing.

Beliau berkata, ia bagi melancarkan keberkesanan program dalam usaha mengurangkan kadar jenayah setempat.

Terdahulu, Pelan Induk Keselamatan diwujudkan sebagai inisiatif untuk mengurangkan kes jenayah di kawasan Petaling Jaya.

Pelaksanaannya tidak terhad kepada usaha menangani ancaman jenayah sahaja, sebaliknya sebagai dorongan ke arah mewujudkan bandar raya lebih makmur dan selamat.

-nR-