Categories
SELANGOR

Yunus: Noh tak profesional, pelajar kembali duduk dilantai

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 FEB: Tindakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar yang mengarahkan sumbangan kerusi dan meja Dun Sijangkang dipulangkan semula disifatkan tidak profesional.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya menyumbangkan keperluan terbabit untuk membantu meringankan beban pihak sekolah.

Malah, katanya, pelajar ketika ini kembali duduk di atas lantai sementara menunggu sumbangan dari Kerajaan Persekutuan.

“Saya anggap tindakan itu tak profesional, saya cuma mahu membantu pelajar supaya dapat kemudahan selesa.

“Saya difahamkan sumbangan kerusi dan meja pelajar itu dikeluarkan atas arahannya,” katanya ketika dihubungi.

Yunus sumbanganDr Yunus berkata, pihaknya menerima permohonan dari tiga sekolah di Dun terbabit yang memaklumkan memerlukan kemudahan tersebut, sekali gus menghantar sumbangan itu segera.

“Kita memperuntukkan sumbangan ini kerana ia permohonan dari pihak sekolah. Sebelum ini, pelbagai bantuan juga disalurkan termasuk baik pulih bangunan.

“Bantuan disalurkan sebelum ini tiada sebarang masalah tetapi mengapa membangkitkan hal ini,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga tidak mempunyai masalah sekiranya meja dan kerusi disumbangkan ke sekolah berkenaan terpaksa dikeluarkan.

“Saya difahamkan selain SK Kebun Baru, SK Sijangkang turut diarah keluarkan kerusi dan meja yang disumbangkan,” katanya.

Katanya, jika kemudahan itu tidak diperlukan atau tidak mahu digunakan, pihak sekolah boleh memulangkannya dan beliau bersedia menerima semula untuk diagihkan kepada pihak yang lebih memerlukan.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor itu mahu set kerusi meja dihantar ke sekolah itu oleh kerajaan persekutuan bagi menggantikan kerusi meja yang tertera gambar wakil rakyat berkenaan.

-nR-