Categories
EKONOMI

Saham Asia dibuka bercampur-campur

KUALA LUMPUR 27 FEB: Saham di Asia dijangka memulakan dagangan minggu ini bercampur-campur menjelang ucapan Presiden Donald Trump di hadapan Kongres minggu ini.

Agensi Berita Antarabangsa BLOOMBERG melaporkan pelabur berharap mendapat sedikit perincian berhubung cadangan perbelanjaan Trump.

Ia terutama pada ketika orang ramai bimbang berhubung rangsangan fiskal yang memberi kesan kepada dolar AS tahun ini, menguji paras peningkatan pasca pilihan raya.

Indeks hadapan ekuiti di Jepun dan Hong Kong menunjukkan bacaan rendah, manakala saham di Australia menyusut.

“Kami tidak pasti apa dasar Trump dan sama ada beliau akan melaksanakan semuanya,” kata Kumar Palghat, pengurus portfolio di Kapstream Capital, kepada Bloomberg TV di Sydney pagi ini.

“Kita hanya akan dapat perincian ucapan Trump esok,” katanya.

Rali kenaikan harga saham global yang membantu menolak nilai melepasi AS$70 trilion telah kehilangan momentum berikutan pengurus dana berhadapan ketidaktentuan politik dan cadangan Rizab Persekutuan berhubung kos pinjaman.

Trump akan berucap di Kongres esok dan beliau dijangka menggariskan rancangan berhubung reformasi cukai dan penjagaan kesihatan serta perbelanjaan infrastruktur.

=EZY=