Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

SPR perlu pertimbang cadangan pendaftaran automatik

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 21 FEB: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak sepatutnya mengabaikan cadangan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) supaya melaksanakan proses pendaftaran secara automatik sebaik sahaja seseorang warganegara mencapai umur 21 tahun.

Timbalan Pengerusi BERSIH 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, tindakan SPR itu akhirnya merumitkan dan melambatkan proses bagi mereka yang berkelayakan mengundi iaitu sebahagian daripada tanggungjawab warganegara di sebuah negara mengamalkan sistem demokrasi.

“Walaupun pendaftaran pengundian tanggungjawab SPR namun mereka merumit dan menyusahkan proses mendaftar pengundi dan mengabaikan cadangan BERSIH 2.0 melakukan pendaftaran pengundi secara automatik.

“Jika SPR bersungguh-sungguh ingin memenuhi tugasnya, kami mengalu-alukan mereka bekerjasama dengan BERSIH 2.0 dalam usaha kami mendorong pendaftaran pengundi,” katanya pada sidang media di Pejabat BERSIH 2.0 di Eight Avenue, di sini, hari ini.

sprJelasnya, dengan sistem pendaftaran di Pejabat Pos diamalkan sekarang, SPR memerlukan masa selama enam bulan untuk proses pewartaan bagi pengundi baru.

Justeru, pada sidang media sama BERSIH 2.0 turut melancarkan kempen Bulan Daftar Mengundi yang berlangsung pada sepanjang bulan Mac 2017 menerusi ‘Kempen U’.

Memandangkan pengundian memainkan peranan penting dalam proses demokratik, BERSIH 2.0 terpaksa melangkah masuk dan mengerakkan “Kempen U” ini.

“BERSIH 2.0 memilih Mac untuk melangsungkan kempen ini kerana ia merupakan hujung suku tahun ini dengan SPR mula memproses pendaftaran tersebut,” katanya lagi.

Jelas Shahrul Aman, Kempen U itu menyasarkan lebih kurang empat juta rakyat belum mendaftar supaya dapat mengembalikan kuasa ke tangan rakyat.

Katanya, kempen ini merangkumi beberapa aktiviti lapangan seperti di pejabat pos dan acara lain di seluruh Malaysia mulai Sabtu ini, 25 Februari 2017.

=EZY=