Categories
NASIONAL

Tindak tanduk Kerajaan buat pelabur asing jauhkan diri

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 FEB: Dasar kerajaan dan ekonomi negara kurang stabil seperti dinyatakan penganalisis ekonomi dan diakui kerajaan sendiri merupakan antara faktor kebimbangan pelabur asing untuk terus melabur di Malaysia.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, tindak tanduk parti menguasai kerajaan hari ini yang cenderung memainkan isu perkauman bagi mengekalkan kuasa memburukkan lagi keadaan.

“Ini menyebabkan pelabur lari meninggalkan Malaysia dan ditambah pula keadaan ekonomi tidak stabil, ketegangan perkauman semakin tinggi apabila parti pro kerajaan sendiri memainkan isu perkauman.

dr_rosli_yaakob_“Ini antara faktor utama sejak beberapa tahun kebelakangan ini beberapa syarikat antarabangsa seperti Carefour, British American Tobacco (BAT) meninggalkan Malaysia.

“Kebanyakkan pelabur luar yang masuk pula hanyalah daripada China sahaja kerana ketika ini mereka sedang berusaha mengembangkan penguasaan ekonomi mereka,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Jelasnya, nilai ringgit semakin menyusut pula memberi implikasi kepada syarikat terbabit yang terpaksa menanggung kos tinggi bagi mengimport bahan mentah dan sekaligus meningkatkan kos operasi mereka.

Katanya, selain itu, masalah korupsi yang membelenggu pentadbiran Kerajaan Putrajaya dan jabatan-jabatan lain turut melemahkan lagi keyakinan pelabur.

“Salah satu kesannya di mana produk seludup berleluasa tanpa kawalan dan ini sudah tentu menjejaskan perniagaan mereka,” katanya lagi.

-nR-