Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Baik pulih lif keutamaan pangsapuri kos rendah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 MAC: Kerajaan Negeri akan memberikan subsidi berjumlah RM8 juta untuk membaik pulih 405 lif di pangsapuri kos rendah di Selangor kerana kebanyakkannya sudah lama tidak diselenggara akibat kos yang tinggi.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, subsidi itu dibayar secara terus kepada syarikat penyelenggara lif di pangsapuri menerusi perjanjian kontrak yang komprehensif.

“Kita akan ambil alih semua lif di pangsapuri kos rendah di Selangor. Kerajaan Negeri membayar subsidi kepada semua pangsapuri untuk mereka membaiki lif.

“Semuanya ada 405 lif pangsapuri kos rendah di Selangor. Kerajaan Negeri membayar terus subsidi setiap bulan kepada syarikat yang menyelenggara lif di pangsapuri,” katanya.

Untuk peringkat awal, sebanyak 88 lif yang tidak berfungsi akan dibaik pulih terlebih dahulu dengan kos RM22 juta.

Menurutnya, sebelum ini banyak perjanjian tidak komprehensif bersama syarikat penyelenggara lif hingga mengakibatkan badan pengurusan bersama (JMB) pangsapuri tidak mampu menampung kos baik pulih.

Menerusi perjanjian komprehensif, syarikat penyelenggara turut bertanggungjawab terhadap alat ganti sekiranya berlaku kerosakan berulang.

“Kita belanjakan RM30 juta untuk pangsapuri kos rendah menerusi program Smart Life seperti diumumkan Dato’ Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan. Kita tumpu kepada lif dahulu kerana ia memerlukan kepakaran khusus berbanding perkara lain,” katanya.

Minggu lalu, Jawatankuasa Bertindak Flat Kos Rendah kawasan Hulu Langat mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya mengambilalih masalah penyelenggaraan pangsapuri kos rendah di Selangor.

=EZY=