Categories
NASIONAL

Bersatu sertai Pakatan Harapan mampu bentuk kesatuan politik padu

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MAC: Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama Pakatan Harapan mampu memperkukuhkan kesatuan politik sedia ada.

Presiden KEADILAN, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kesediaan parti itu menyertai Pakatan Harapan dilihat akan menjadi sebuah kesatuan politik padu, progresif serta ampuh yang boleh membela nasib dan menegakkan hak rakyat.

Katanya, langkah kesatuan itu bukan sahaja untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 14 (PRU-14) tetapi juga usaha membina Malaysia baru yang diimpikan bersama.

“Saya berbesar hati dan mengalu-alukan kenyataan pimpinan utama PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyatakan hasrat dan kesungguhan politik PPBM untuk menyertai keluarga besar Pakatan Harapan.

pakatan“Ini amat penting bukan sahaja demi menghadapi pilihan raya umum yang bakal menjelang tetapi juga dalam usaha membina Malaysia baru yang kita impikan bersama,” katanya dalam kenyataan.

Azizah berkata, pihaknya akan berbincang dengan pimpinan parti Pakatan Harapan mengenai usaha dan langkah memperkukuhkan kesatuan politik ini.

Katanya, dalam pertemuan itu nanti, pimpinan utama Bersatu turut akan di undang untuk duduk bersama dan membincangkan strategi kesatuan politik yang akan menjayakan usaha menyelamatkan Malaysia dari rejim kleptokrasi yang ada sekarang.

“Kesatuan politik Pakatan Harapan ini dibina atas semangat perjuangan reformasi dan nilai-nilai demokrasi. Perjuangan reformasi demi menyelamatkan Malaysia adalah perjuangan Pakatan Harapan.

“Nilai-nilai demokrasi dan permuafakatan adalah nilai yang diangkat dan dipegang teguh oleh Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau berkata, dengan pelbagai pengalaman dilalui bersama di dalam perjalanan permuafakatan politik parti pembangkang, banyak kejayaan diraih.

“Kita berjaya menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional dan memenangi lima negeri pada 2008.

“Pada pilihan raya umum yang lalu, di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta manifesto bersama dan formula ‘satu lawan satu’, kita berjaya memenangi 52 peratus undi popular,” katanya.

-nR-