Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wan Azizah: Satu penghormatan dilantik pimpin negara

SHAH ALAM, 9 MEI: Pelantikan sebagai timbalan perdana menteri wanita pertama ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) adalah satu penghormatan untuk berkhidmat kepada rakyat, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ahli Parlimen Pandan berkata beliau gembira dapat menjalankan amanah membantu rakyat, antaranya melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Sebagai timbalan perdana menteri wanita pertama Malaysia, ia satu kebanggaan, Alhamdulillah ada banyak program, di bawah Nadma misalnya kita bantu mangsa bencana seperti pencemaran Sungai Kim Kim di Johor.

“Saya juga dilantik menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, di kementerian itu kita laksana program i-Suri bagi menghargai jasa ibu tidak bekerja namun banyak berbakti kepada negara,” katanya dalam sesi Facebook Live bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena ulang tahun kedua penubuhan Kerajaan PAKATAN hari ini.

Wan Azizah turut mengimbas inisiatif lain dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), antaranya menangani isu keganasan rumah tangga.

“Kita juga memastikan Talian Kasih 15999 sebagai talian bebas tol, sebelum itu kena bayar untuk perkhidmatan tersebut, inilah apa yang kita usahakan,” katanya.

Mengenai Covid-19, beliau menafikan Kerajaan PAKATAN tidak berbuat sesuatu untuk mencegah penularan wabak itu di negara ini ketika masih bergelar kerajaan.

“Harus diingat masa Covid-19 kes terakhir ketika Kerajaan PAKATAN ialah pada 15 Februari dan kes pertama pada 25 Januari, 11 hari tak ada kes baharu sehinggalah kita ditumbangkan.

“Pada masa itu Pertubuhan Kesihatan Sedunia baru keluarkan kenyataan wabak itu sebagai pandemik dan bukan kita tak sekat kemasukan warga asing, apa pun ia bukan ‘blame game’ (mencari salah).

Sempena ulang tahun kedua majoriti rakyat mengundi dan memberi mandat kepada PAKATAN, beliau berkata keutamaan gabungan itu pada waktu ini ialah untuk sama-sama menangani Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakej rangsangan ekonomi tumpu pelancongan domestik – TPM

BUKIT MERTAJAM, 15 FEB: Pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan pada 27 Februari ini bagi mengurangkan impak ekonomi luaran susulan penularan Covid-19 di negara ini, akan memberi tumpuan kepada pembangunan pelancongan domestik.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan sedang mengusahakan pakej rangsangan terbaik untuk meningkatkan sektor itu yang antara terkesan disebabkan penularan Covid-19.

“Memang kita nak fikirkan bagaimana nak buat pakej rangsangan. Kalau pelancongan domestik itu kita cuba tingkatkan. Kita nak tingkatkan pakej rangsangan kita untuk pelancongan domestik sekurang-kurangnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pemantauan pelaksanaan projek di bawah peruntukan Timbalan Perdana Menteri di Masjid Jamek Tuan Haji Abdul Latif, Permatang Pasir di sini hari ini.

Pada majlis itu, Dr Wan Azizah turut menyerahkan sumbangan RM500,000 di bawah peruntukan Timbalan Perdana Menteri untuk kerja meroboh dan membina bangunan tambahan baharu Masjid Jamek Tuan Haji Abdul Latif, Permatang Pasir.

Beliau berharap dengan sumbangan itu dapat memberi kemudahan kepada kariah dan jemaah masjid untuk lebih mengimarahkan masjid yang dibina pada tahun 1965 itu.

Masjid itu berdepan dengan masalah ruang solat yang terhad selain kekurangan beberapa kemudahan lain untuk melakukan aktiviti keagamaan.

Projek yang dijangka siap pada Oktober depan akan mampu menampung seramai 846 jemaah dalam satu masa berbanding hanya 739 jemaah ketika ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bapa TPM Dr Wan Azizah meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Datuk Wan Ismail Wan Mahmood, bapa kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meninggal dunia awal pagi ini di kediamannya di Ampang.

Menurut maklumat yang dipetik daripada laman Facebook Dr Wan Azizah, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid al Mustaqim di Taman Nirwana, Ampang pada 9 pagi sebelum di kebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana.

Berita lanjut akan menyusul.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Wan Azizah: Genggam erat idealisme dan agenda reformasi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 NOV: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan ahli dan kepimpinan parti supaya pangkat, kuasa dan harta tidak mengaburi asas perjuangan serta dasar parti.

Katanya, kekuasaan dan kedudukan yang dimiliki ketika ini adalah kerana perjuangan setiap anggota di bawah, bukan kekuatan seorang dua sahaja.

Beliau berkata, idealisme dan agenda reformasi perlu digenggam erat, diteruskan dan dimantapkan.

“Jangan lupa kita adalah parti reformis. Kita berjuang membela hak dan menentang yang batil. Kita tentang kemungkaran dan kita mengajak kepada kebaikan.

“Kita lawan kezaliman dan kita tegakkan keadilan, kita bela mereka yang lemah dan kita santuni mereka yang gagah. Kita yang lahir dari perjuangan, keringat dan air mata rakyat di jalanan, kita bukan lahir dengan hamparan permaidani indah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan dasarnya di Kongres Nasional KEADILAN Ke-13, yang bertemakan Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi, di IDCC, di sini.

Dr Azizah berkata ketika di awal perjuangan reformasi, tiada tokoh besar menyertai parti itu, namun ahli parti tetap gagah berjuang kerana keyakinan kepada agenda perjuangan.

Justeru, beliau berkata, ahli parti tidak seharusnya meremehkan agenda reformasi dan mengakibatkan perjuangan tanpa idealisme hancur.

“Saya inginkan setiap dari kita mengakhiri kehidupan kita dengan kebaikan. Ingat lah ada mata yang memerhati setiap tingkah dan laku kita, dalam gelap dan terang.

“Pemimpin yang baik adalah yang paling takutkan sumpahan rakyat dan bencikan maksiat.

“Kita berjuang kerana kebenaran dan keadilan, tiap titik peluh mengalir, tiap air mata menitis, tiap sen dibelanja, tiap saat kita korbankan untuk perjuangan hanyalah kerana idealisme perjuangan, bukan kerana pemimpin tertentu, pangkat, kedudukan atau harta benda,” katanya.

Categories
NASIONAL

Bersatu sertai Pakatan Harapan mampu bentuk kesatuan politik padu

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MAC: Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama Pakatan Harapan mampu memperkukuhkan kesatuan politik sedia ada.

Presiden KEADILAN, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kesediaan parti itu menyertai Pakatan Harapan dilihat akan menjadi sebuah kesatuan politik padu, progresif serta ampuh yang boleh membela nasib dan menegakkan hak rakyat.

Katanya, langkah kesatuan itu bukan sahaja untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 14 (PRU-14) tetapi juga usaha membina Malaysia baru yang diimpikan bersama.

“Saya berbesar hati dan mengalu-alukan kenyataan pimpinan utama PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyatakan hasrat dan kesungguhan politik PPBM untuk menyertai keluarga besar Pakatan Harapan.

pakatan“Ini amat penting bukan sahaja demi menghadapi pilihan raya umum yang bakal menjelang tetapi juga dalam usaha membina Malaysia baru yang kita impikan bersama,” katanya dalam kenyataan.

Azizah berkata, pihaknya akan berbincang dengan pimpinan parti Pakatan Harapan mengenai usaha dan langkah memperkukuhkan kesatuan politik ini.

Katanya, dalam pertemuan itu nanti, pimpinan utama Bersatu turut akan di undang untuk duduk bersama dan membincangkan strategi kesatuan politik yang akan menjayakan usaha menyelamatkan Malaysia dari rejim kleptokrasi yang ada sekarang.

“Kesatuan politik Pakatan Harapan ini dibina atas semangat perjuangan reformasi dan nilai-nilai demokrasi. Perjuangan reformasi demi menyelamatkan Malaysia adalah perjuangan Pakatan Harapan.

“Nilai-nilai demokrasi dan permuafakatan adalah nilai yang diangkat dan dipegang teguh oleh Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau berkata, dengan pelbagai pengalaman dilalui bersama di dalam perjalanan permuafakatan politik parti pembangkang, banyak kejayaan diraih.

“Kita berjaya menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional dan memenangi lima negeri pada 2008.

“Pada pilihan raya umum yang lalu, di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta manifesto bersama dan formula ‘satu lawan satu’, kita berjaya memenangi 52 peratus undi popular,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Wan Azizah yakin Selangor muncul Smart State

OLEH: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 31 MAC: Gagasan Smart Selangor diyakini mampu mendokong hasrat negeri ke arah Smart State dengan pentadbiran yang lebih efisyen.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kejayaan merealisasikan gagasan itu bakal menjadikan Selangor sebagai negeri terkehadapan memaksimakan teknologi dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

WAWI“Dengan terlaksananya Smart Selangor ia dapat membawa perubahan dari segi pentadbiranya yang lebih efisyen disamping komunikasi dan interaksi kerajaan dan rakyat kearah lebih baik dan kesejahteraan.

“Kita juga menyambut baik Penganjuran Pameran Smart Selangor yang dilihat sebagai salah satu inisiatif kerajaan negeri ke arah jangka masa panjang,” katanya.

Wan Azizah yang juga Presiden KEADILAN berkata demikian kepada Selangor Kini sewaktu melawat Pameran Smart Selangor di Foyer SUK, di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata perkhidmatan berpaksikan rakyat menjadi tunjang utama gagasan Smart Selangor ke arah ‘Citizen Centric State’ yang didorong falsafah tadbir urus berasaskan pintar atau ‘intelligent technologies’.

Katanya, fokus utama adalah meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dengan menggunakan teknologi bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

MB SMART SELANGOR“Antara elemen yang diberi penekanan adalah sistem pengangkutan, trafik, keselamatan, pembanterasan jenayah dan penguatkuasaan undang-undang, pengurusan sisa pepejal, sumber air dan tenaga,” kata Mohamed Azmin.

Pameran Smart Selangor berlangsung tiga hari bermula 30 Mac dan berakhir 1 April membabitkan lapan pempamer antaranya Redtone International Berhad, ZTE (Malaysia) Corporation Sdn Bhd, Spatial Works Sdn Bhd, Frost & Sullivan Perunding Strategi Sdn Bhd, Celcom Axiata Berhad, Millenium Radius Sdn Bhd dan Selangor Information Technology & E-Commerce Council(SITEC).

-nR-