Categories
NASIONAL

Dokumen bilik kebal kena kebas, rakyat tuntut penjelasan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MAC: Kerajaan Johor perlu memberi penjelasan terperinci isu ‘kecurian’ dokumen dari bilik kebal Pejabat Tanah dan Galian (PTG) yang menjejaskan hak tanah milik rakyat.

Pengerusi KEADILAN Johor, Hassan Karim berkata, insiden terbabit tidak seharusnya berlaku sekali gus menggambarkan kelemahan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Katanya, banyak persoalan timbul ekoran bilik kebal yang mempunyai banyak dokumen penting tidak dijaga dengan baik seterusnya menimbulkan rasa curiga dalam kalangan rakyat.

“Kerajaan Johor harus memberi penjelasan, bukan sekadar beri alasan rapuh iaitu ‘serahkan kes itu kepada polis’ semata-mata. Menteri Besar harus meningkatkan keyakinan rakyat yang semakin lenyap akibat skandal rasuah.

“KEADILAN Johor mempertikai kepimpinan Kerajaan Umno Johor yang diterajui Datuk Seri Khaled Nordin dalam melindungi hak pemilikan hartanah Bumiputera,” katanya dalam kenyataan.

JOHORHassan berpendapat perkara itu tidak seharusnya berlaku lebih lagi ketika siasatan terhadap Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abd Latif Bandi dijalankan.

“Rakyat juga pasti tertanya-tanya dengan penemuan 150 beg tangan jenama mewah yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada serbuan di rumah exco itu.

“Rentetan kejadian ini mendedahkan tembelang Umno dalam urusan hartanah Bumiputera yang terbongkar satu demi satu dan ia membabitkan anak pemimpin negeri. Ini amat memalukan,” katanya.

Beliau mendakwa penyelewengan dan rasuah menjadi asam garam pimpinan Umno Johor dan bertentangan dengan reputasi palsu kononnya ‘pembela’ orang Melayu.

“Perbuatan menggadai status hartanah Bumiputera demi keuntungan peribadi hanya memperkuatkan Umno sebagai Parti ‘penggadai’ tanah rizab Melayu.

“Dengan lambakan rekod rasuah dan penyelewengan semakin teruk, adakah slogan ‘Hidup Melayu’ bermaksud melindungi elitis Umno yang melakukan penyelewengan,” soalnya.

-nR-