Categories
NASIONAL

PDRM digesa guna kecanggihan jejak kehilangan Lam Kim Ming

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa mempergiatkan usaha menjejaki kehilangan kanak-kanak, Lam Kim Ming yang dipercayai dilarikan ibunya, Nadia Kristiani, 35, warga Indonesia, sejak 30 Jun 2016.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, bapa Kim Ming, Lam Ah Coy sebelum ini berjaya menghalang usaha bekas isterinya itu membawa anak mereka ke Indonesia.

“Usaha mencari Lam Kim Ming, 5, yang dilaporkan hilang Jun 2016 perlu dipergiatkan PDRM. Penculikan seperti ini tidak wajar berlaku di saat Malaysia menghadapi cabaran menangani soal keselamatan kanak-kanak yang kian membimbangkan.

“Lam Ah Coy berusaha mencari dan melakukan beberapa laporan polis bagi menjejaki anaknya. Namun, sehingga kini tiada sebarang tindakan dan maklum balas dikemukakan,” katanya.

izzahBeliau berkata demikian dalam satu sidang media bersama Ahli Parlimen Batu, Tian Chua di Lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, polis dipohon menggunakan kepakaran dan teknologi serba canggih untuk mengesan lokasi suspek bagi membantu usaha mencari serta menyelamat Kim Ming yang berlarutan hampir setahun.

Ah Coy, 57, yang turut bersama dalam sidang media itu tidak dapat menyembunyikan kesedihan atas kehilangan anaknya hingga mengalirkan air mata.

Ah Coy berkata, itu bukan kali pertama anaknya dilarikan dan perkara sama mula berlaku, pada Disember 2011.

Ketika itu, Kim Ming baru berusia lima bulan tetapi Nadia berjaya diberkas polis daerah Rawang dan anaknya dikembalikan semula.

Suspek sekali lagi cuba membawa Kim Ming ke Kedutaan Indonesia bagi proses dokumentasi untuk menghantar anaknya ke republik itu tetapi berjaya dihalang selepas Ah Coy membuat laporan polis, pada 13 Jun 2016.

Lokasi terakhir Ah Coy mengesan anaknya di sekitar Jinjang, Kepong.

-NFN-