Categories
SELANGOR

IKK cemerlang, cermin kredibiliti negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM – Selangor mencapai Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) Malaysia 2016 memberangsangkan dipengaruhi beberapa faktor daripada kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengurus Kanan Penyelidikan Institusi Darul Ehsan (IDE), Khairul Arifin Mohd Munir berkata, kedudukan Selangor yang dibanggakan itu adalah cerminan kepimpinan Kerajaan Negeri dalam menggubal dasar, perkhidmatan dan pelbagai Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Kedudukan membanggakan ini mencerminkan keadaan Selangor yang harmoni dan kepelbagaian rakyat majmuk.

“Skor diperolehi sebanyak 7.33 iaitu sama dengan kedudukan Malaysia. Selangor berjaya mengalahkan negeri lain dari segi perkhidmatan, dasar dan inisiatif ditawarkan, sekali gus membawa kepada kesan kesejahteraan keluarga,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, walaupun Selangor rencam dengan pelbagai isu sosial, namun indikasi itu masih berada pada kedudukan baik.

IDE 1Khairul Arifin berkata, laporan kajian IKK itu diperkuatkan lagi dengan Kajian Persepsi Rakyat Selangor 2017 yang berpuas hati terhadap prestasi Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif program rakyat juga pihak berkuasa tempatan.

“Keluarga adalah nukleas penting dalam masyarakat dan menjadi masalah jika ia runtuh. Ia dapat dipupuk melalui sokongan persekitaran, perkhidmatan dan lokasi yang menyumbang kepada keluarga ideal.

“Dalam kajian ini, 70 peratus rakyat berpuas hati dengan perkhidmatan ditawarkan Kerajaan Negeri termasuk komponen ‘Smart Selangor’, selain insentif dan projek mempengaruhi perkembangan pembangunan negeri,” katanya.

Pada masa sama, katanya, sokongan rakyat yang meningkat kepada kepimpinan Mohamed Azmin turut mempengaruhi prestasi Selangor yang lebih baik.

“Tidak mustahil laporan IKK 2017 akan terus menunjukkan peningkatan ekoran pelbagai insentif dilaksanakan Mohamed Azmin termasuk program Peduli Sihat,” katanya.

-AA-