Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jamal lempar fitnah, Teresa bakal saman

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mempertimbangkan tindakan saman terhadap Datuk Seri Jamal Md Yunos yang didakwa memfitnahnya berkaitan perbelanjaan wang peruntukan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Beliau berkata, tuduhan dibuat Ketua Bahagian Umno Sungai Besar bahawa dirinya menyalahguna dan membelanjakan peruntukan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) iaitu salah satu skim di bawah YAWAS sehingga RM2 juta seperti laporan media adalah tidak benar kerana terdapat rekod.

“Terdapat rekod dari 2016 hingga hari ini iaitu 383 keluarga datang ke pejabat saya memohon SMUE dan wang dikeluarkan hanya RM383,000 sahaja bukan RM2 juta seperti didakwa.

“Dia (Jamal) juga tuduh pembantu saya keluarkan wang guna kad ATM di Kajang, Semenyih dan beberapa tempat.

teresa kok“Apa yang Jamal katakan adalah tuduhan palsu dan hasutan fitnah terhadap saya. Selepas ini, saya akan berbincang dengan peguam untuk failkan saman terhadap Jamal,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata, SMUE ialah wang ehsan kepada keluarga si mati dengan setiap waris berhak memperoleh bantuan RM2,500 dengan bayaran pendahuluan RM1,000 diuruskan pejabat wakil rakyat, manakala baki RM1,500 oleh pejabat daerah dua bulan selepas itu.

Katanya, setiap wakil rakyat PAKATAN di Selangor dan Kuala Lumpur termasuk Seputeh menerima peruntukan permulaan RM10,000 yang dimasukkan dalam satu akaun khas atas nama wakil rakyat berkenaan serta kad ATM.

“Apabila berlaku kematian, waris si mati memohon SMUE dan wang RM1,000 akan dikeluarkan untuk diberi kepada mereka sehingga semua RM10,000 dibelanjakan.

“Selepas itu, petugas saya akan hantar semua dokumen berkaitan ke Pejabat Daerah Petaling untuk rekod dan peruntukan RM10,000 ditambah lagi untuk bantuan seterusnya,” katanya.

Teresa berkata, semua rekod pemberian wang ehsan kepada waris si mati disimpan baik Pejabat Daerah Petaling dan beliau tidak pernah melakukan penyelewengan.

“Kita dan Pejabat Daerah Petaling mempunyai semua rekod, jangan anggap penjawat awam Selangor, pejabat daerah juga YAWAS tidak berkesan dan bodoh serta mengikut arahan kami.

“Jangan cuba fitnah dan hina usaha kita untuk beri wang ehsan kepada keluarga si mati,” katanya.

-NFN-