Categories
NASIONAL

Kerajaan mesti jawab tuduhan terbabit jenayah perang

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Kerajaan perlu menjawab tuduhan atas pembabitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama sekutu Arab Saudi dalam jenayah perang ke atas Yaman.

Ketua Biro Antarabangsa AMANAH, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Raja Ahmad, berkata persoalan dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat sebelumnya serta kali ini adalah demi kepentingan negara dan selagi ia tidak dijelaskan maka kredibiliti kerajaan terus dipersoalkan.

Katanya, perkara sama dipersoalkan mantan anggota tertinggi ATM, Brigadier Jeneral (B) Mohd Arshad Raji, maka seharusnya penjelasan diberikan dengan perbahasan diadakan dalam sidang Parlimen ini.

Raja_Kamarul_Bahrin_Shah2“Saya telah timbulkan persoalan ini sejak awal tahun lalu di Parlimen tetapi dinafikan kerajaan, kali ini ditimbulkan Mohd Arshad maka ia harus dipandang serius.

“Seperti dinyatakannya, kenyataan saya juga berasaskan pada laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertarikh 11 Januari 2017 yang kerajaan pasti maklum isi kandungannya membabitkan Malaysia dengan sekutu Arab Saudi dalam serangan ke atas Yaman.

“Ia ditimbulkan kerana sebelum ini Malaysia terbabit dengan misi keselamatan namun kini kemungkinan besar terbabit dengan jenayah perang (war crimes) bersama sektu Arab Saudi,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata, jika dahulu nama Malaysia harum sebagai negara pengaman bersama PBB tetapi kini buat kali pertama dikaitkan dengan tuduhan jenayah perang yang implikasinya amat serius.

“Kerajaan mesti menjawab persoalan serta tuduhan ini,” katanya.

-nR-