Categories
BERITA UTAMA EKONOMI

Pembangunan inovasi, SITEC lancar fasiliti bantu e-dagang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 14 MAC : Seiring tuntutan kemajuan teknologi terkini, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Teknologi Informasi dan E-Dagang Selangor (SITEC) melancarkan SITEC Academy, bagi membantu keperluan penggiat E Dagang seluruh negeri.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, fungsinya berperanan sebagai medium pembelajaran atas talian kepada golongan itu.

“Maklumat daripada penggiat industri perdagangan dapat diakses secara mudah tanpa perlu menghadiri sebarang kelas E-Dagang yang dianjurkan secara berkala oleh pihak SITEC.

“Platform pembelajaran maya ini disediakan secara percuma untuk digunakan kepada umum dengan paparan infografik, video, oleh penggiat industri yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ini.

“Ia juga menyediakan paparan portal berita serta berfungsi sebagai direktori perniagaan dengan usahawan lain dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran SITEC Academy di I-City Shah Alam, semalam.

Teng berkata, usaha tersebut sejajar dengan komited Kerajaan Negeri untuk terus konsisten memacu hala tuju pembangunan inovasi dan kreatif di Selangor.

“Menjadi harapan saya agar lebih ramai rakyat Malaysia mengambil peluang untuk mendidik, meningkatkan kemahiran dan memperbaiki diri mereka untuk lebih produktif terlibat dalam bidang perdagangan atas talian ini.

“Sebagai jaminan, SITEC Academy memenuhi keperluan pelbagai peringkat pengajian dan kekal relevan untuk membimbing 100 peniaga,” katanya.

Dalam pada itu, turut dilancarkan Startup Connect sebagai platform atas talian kepada bakal usahawan tempatan mendapat maklumat berhubung sumber perniagaan di Selangor.

Beliau berkata, ia juga berperanan memberi peluang kepada golongan itu mendapatkan akses lebih dekat dengan Kerajaan Negeri berkait aspek perniagaan atas talian.

“Ini merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu masyarakat meningkatkan jurang ekonomi sekali gus berperanan sebagai platform untuk mempromosikan perniagaan tempatan.

“Inisiatif ini juga Kerajaan Negeri serta pelabur atau rakan kongsi berpotensi mencari dan memanfaatkan keupayaan dan peluang perniagaan oleh bakal usahawan tempatan seluruh negeri,” katanya.

=EZY=