Categories
SELANGOR

Kubur Cina: Bina jalan masuk berasingan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 MAC: Pentadbir Tanah Daerah Kuala Selangor diarah melaksanakan beberapa tindakan dalam menangani isu tanah perkuburan Cina di Bukit Cherakah.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia diputuskan Kerajaan Negeri menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 6 Mac lalu.

Katanya, ia termasuk mengeluarkan notis berhenti kerja awal pembinaan jalan masuk ke tapak cadangan pembinaan tanah perkuburan sehingga mendapat kelulusan Kebenaran Merancang daripada Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

“Perlu juga ditetapkan syarat kepada syarikat supaya pembinaan jalan masuk ke tapak perkuburan dibina berasingan dari jalan masuk sedia ada untuk menjamin kesejahteraan penduduk kampung.

“Syarikat juga dikehendaki sediakan landskap dan tempat letak kereta mencukupi,” katanya ketika sesi penggulungan Menjunjung Kasih Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

MB DNS MAC 17 (13)Mohamed Azmin berkata, MDKS meluluskan permohonan pemilik tanah untuk menukar syarat tanah daripada bangunan kediaman kepada bangunan perniagaan tapak kubur selaras zon guna tanah Rancangan Tempatan MDKS 2025 dengan beberapa syarat.

Antaranya termasuk, pemilik tanah dikehendaki menyerahkan tanah milknya di bawah Seksyen 200 Kanun Tanah Negara (KTN) seluas 23.89 ekar bagi tujuan tanah perkuburan Islam.

“Tapak perkuburan Islam itu hendaklah dirizabkan di bawah Seksyen 62 KTN dengan melantik Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai pegawai pengawal dan diurus tadbir Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Bangunan perniagaan tapak perkuburan bukan Islam dibina juga tertakluk kepada piawaian pihak berkuasa perancang.

“Selain itu pembangunan tapak dipisahkan dengan hak milik bersebelahan melalui penyerahan tanah seluas 16.079 ekar sebagai laluan rintis TNB yang dijanjikan sebagai zon pemampan,” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Azmin mendedahkan, semasa kajian draf RT MDKS 2025, cadangan kedua-dua lot untuk tapak perkuburan sudah dibuka untuk pandangan awam menerusi hebahan media cetak, elektronik dan paparan notis dari 1 november hingga 26 november 2013.

“Pemberitahuan kepada pemimpin setempat seperti ahli majlis juga diadakan sepanjang tempoh berkenaan dan tiada bantahan diterima.

“Kemudian, pada Julai 2014, Jawatakuasa Perancangan Negeri meluluskan RT MDKS 2025 dan ia diwartakan pada 28 April 2015,” katanya.

-nR-