Categories
SELANGOR

Kubur Cina dilulus dan disokong wakil rakyat Umno

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 MAC: Kelulusan tapak perkuburan di Lot 9942 dan Lot 9987 di Kuala Selangor dibuat ketika zaman Umno-BN, tegas Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, ia diluluskan Kerajaan Negeri pimpinan Umno-BN pada 1995 untuk pembangunan bercampur dengan keluasan 7,000 ekar di Bukit Cherakah.

Katanya, ia termasuk Lot 9987 seluas 40 hektar yang diluluskan sebagai tapak perkuburan.

“Maksudnya kelulusan dibuat pada 1995. Pada ketika itu, saya tidak pasti siapa kerajaan tetapi pada 1999 Kerajaan Negeri luluskan pemberimilikan tanah di Lot 9942 seluas 70 hektar kepada satu syarikat bagi tujuan pembangunan bercampur.

MB DNS MAC 17 (7)“Manakala Lot 9987 seluas 40 hektar pula diberi milik kepada syarikat lain pada 2001 bagi tujuan pembangunan bercampur,” katanya ketika sesi penggulungan Menjunjung Kasih Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, pembangunan bagaimanapun tidak dapat dilaksanakan atas faktor muka bumi berbukit dengan kecerunan di tahap kelas 3 dan 4.

Katanya, kedua-dua lot itu kemudiannya dijual kepada anak syarikat Nirwana Memorial Park Sdn Bhd.

“Kita ambil maklum bantahan daripada beberapa pihak tetapi kita juga terima mereka yang menyokong pembangunan kubur bukan Islam ini termasuk Ahli Dewan Negeri (ADN) Jeram iaitu wakil rakyat Umno menerusi surat bertarikh 22 November 2016.

“Ia turut disokong JKKK Kampung Felda Bukit Cherakah menerusi surat bertarikh 9 November 2016,” katanya.

-nR-