Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mahkamah Tinggi arah SPR serah maklumat kepada Kerajaan Negeri

OLEH HAFIZAN TAIB

KULA LUMPUR, 9 MAC: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Kerajaan Selangor bagi mendapatkan maklumat daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berhubung perubahan lokaliti membabitkan 136,272 pengundi dalam kajian persempadanan semula dilakukan sebelum ini.

Hakim Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu selepas meneliti keterangan kedua-dua pihak dalam kes berkenaan dengan memerintahkan SPR berbuat demikian seperti diputuskan.

Katanya, isu utama dalam perkara itu ialah untuk membuat penentuan terhadap persempadanan semula dilakukan mengikut peraturan dibenarkan ekoran pengundi dinyatakan tidak memiliki alamat tetap.

AzminBagaimanapun, permohonan Kerajaan Negeri bagi menyoal balas Pengerusi SPR, Datuk Seri Hashim Abdullah, ditolak mahkamah.

Mengulas perkara itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya bersyukur dengan keputusan mahkamah itu kerana permohonan diluluskan adalah antara yang utama dikemukakan Kerajaan Negeri.

“Mahkamah hari ini membuat keputusan SPR perlu membekalkan maklumat secara terperinci bagaimana latihan persempadanan yang lalu dijalankan dengan berlaku perubahan lokaliti terhadap 136,272 pengundi.

“Hujah di pihak Kerajaan Negeri ialah tanpa alamat yang penuh bagaimana mereka boleh mengubah lokaliti dalam dua latihan kajian semula persempadanan kawaaan pilihan raya,” katanya kepada media.

Beliau berkata, keputusan dibuat mahkamah itu memberi peluang kepada Kerajaan Negeri untuk membela hak pengundi di Selangor supaya pilihan raya akan datang terjamin sebagai bersih dan adil.

“Manakala permohonan lain ditolak mahkamah, barisan peguam mewakili Kerajaan Negeri akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat,” katanya.

Berikutan itu, Kerajaan Negeri dan SPR memohon penangguhan prosiding bagi menanti keputusan rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini di Mahkamah Rayuan.

-NFN-