Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Tuanku titah pertahankan momentum, bincang isu rakyat di DNS

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 MAC: Ahli Dewan Negeri Selangor disarankan supaya fokus membincangkan isu membabitkan kepentingan rakyat setiap kali Dewan Negeri Selangor (DNS) bersidang.

DNS MAC 17 (18)Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu selaras seperti yang disarankan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titah ucapan baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Negeri Selangor ke-13 Tahun 2017, hari ini.

“Tuanku menitahkan peranan DNS untuk membincangkan isu rakyat dan kemajuan negeri diberi perhatian.

“Tuanku amat gembira dengan prestasi ekonomi Selangor sehingga hari ini dan keperluan untuk kekal mempertahankan momentum kecemerlangan ini, pada masa akan datang,” katanya selepas menghadiri istiadat terbabit di DNS, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Beliau berkata, DNS mempunyai peranan besar bagi memastikan perbahasan ahlinya pada persidangan kali ini memberikan perhatian kepada titah ucapan baginda, sekali gus dapat mengekalkan Selangor sebagai sebuah negeri maju dan makmur untuk rakyatnya.

Sebelum itu, Sultan Sharafuddin bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berangkat ke istiadat bersejarah itu.

Baginda turut menyampaikan titah ucapan perasmiannya, sekali gus menandakan bermulanya Persidangan Dwan Negeri Selangor ke-13 Tahun 2017.

-NFN-