Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN sedia kerjasama bawa pulang rakyat Malaysia

OLEH DEWI ABDUL RAHMAN

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mahu keselamatan semua rakyat Malaysia di Korea Utara terus diberi keutamaan walaupun dua dari 11 yang terkandas kini dibenarkan pulang ke tanah air.

“Keselamatan warganegara Malaysia itu perlu menjadi keutamaan bagi memastikan semua rakyat kita bukan sekadar dua yang dibenarkan tetapi semua yang di Korea Utara perlu dibawa pulang dan dijamin keselamatan mereka,”katanya.

Beliau berkata, PAKATAN turut menggesa Kerajaan Persekutuan segera mengadakan taklimat khusus kepada Ahli Parlimen demi memastikan rakyat Malaysia di Korea Utara pulang dengan selamat.

Azmin“Sebarang tindakan diplomasi yang berkesan perlu diteruskan kerana kita tidak mahu ketegangan ini memberikan kesan kepada warganegara Malaysia yang terkandas dan menjadi tebusan di Korea Utara.

“Saya mendoakan keselamatan mereka. Saya juga mahu perkara ini diselesaikan dengan cara paling berkesan demi keselamatan warganegara Malaysia,” katanya yang ditemui selepas menziarahi Senator Dewan Negara di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru, di sini, semalam.

Mohamed Azmin turut menyatakan sudah menjadi tanggungjawab sebagai ahli Dewan Rakyat untuk mendukung usaha membawa balik rakyat Malaysia di Korea Utara.

“Kita ingin memberi jaminan bahawa sedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan atas kepentingan dan keselamatan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Sembilan lagi rakyat Malaysia yang masih berada di republik berkenaan terdiri dari tiga pegawai dan kakitangan Kedutaan Malaysia serta enam anggota keluarga.

Terdahulu, Pyongyang mengumumkan sekatan sementara kepada semua rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu atas alasan memastikan keselamatan diplomat dan rakyatnya yang masih berada di Malaysia.

Ia ekoran ketegangan yang semakin memuncak selepas Korea Utara tidak berpuas hati dengan siasatan Malaysia terhadap kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri pemimpinnya, Kim Jong Un.

-NFN-