Categories
NASIONAL

PBB digesa persiap kes dakwa Korea Utara laku jenayah

GENEVA, 10 MAC: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa melantik pakar undang-undang dalam proses persiapan prosiding kehakiman terhadap kepimpinan Korea Utara atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan.

Ahli Suruhanjaya Siasatannya, Marzuki Darusman, membuat gesaan itu dengan berkata Majlis Hak Asasi Manusia PBB perlu menangani akauntabiliti Korea Utara ekoran situasi berlaku dengan kaitan terhadap pemimpin negara itu.

“Majlis Hak Asasi Manusia PBB perlu memikirkan pelantikan kumpulam pakar bebas bagi tujuan itu,” katanya kepada sebuah panel diadakan di luar forum di sini, dipetik Reuters.

Katanya, gesaan itu dibuat berikutan pembunuhan Kim Jong-nam iaitu abang dan pengkritik pemerintahan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, di Malaysia, pada Februari lalu.

Korea UtaraSebuah suruhanjaya siasatan PBB dalam apa dilapor pada 2014 yang dikeluarkan selepas ia mengadakan temubual dan pendengaran awam dengan mereka berpaling tadah menyenaraikan pelanggaran besar di Korea Utara termasuk kem penjara besar, kebuluran dan hukuman mati yang menurutnya patut dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC ).

Laporan pada 2014 itu yang ditolak Pyongyang menyatakan bahawa pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mungkin secara peribadi bertanggungjawab atas jenayah terhadap kemanusiaan.

Pakar berharap sebuah tribunal ‘ad hoc’ ke atas Korea Utara boleh ditubuhkan suatu hari nanti kerana China dijangka akan menggunakan kuasa veto untuk membatalkan sebarang langkah dalam Majlis Keselamatan PBB untuk mengheret sekutunya itu ke ICC.

“Pembunuhan Kim Jong-nam patut menjadi satu pembuka mata,” kata Lee Jung-Hoon, duta Korea Selatan tentang hak asasi manusia Korea Utara, di sesi itu.

Beliau berpandangan, pembunuhan itu membuat khalayak umum dapat melihat sendiri buat pertama kalinya “apakah jenis rejim yang kita benar-benar hadapi”.

“Jika Korea Utara boleh melakukan ini kepada abang Kim, kepada bapa saudara Kim (Jang Song Thaek yang dibunuh, pada 2013) serta semua penyingkiran elit kiri dan kanan, dapatkah anda bayangkan apa bentuk kehidupannya jika anda seorang banduan dalam kem penjara Korea Utara dengan jumlahnya lebih dari 100,000 orang?” katanya.

Hakim Australia Michael Kirby yang mempengerusikan siasatan itu pada 2014 berkata, kenyataan saksi akan digunakan apabila sebuah tribunal dan pendakwa dilantik.

-NFN-