Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

TH, Bank Islam bayar zakat perniagaan RM16.4 juta di Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima bayaran zakat perniagaan RM16.4 juta dari Lembaga Tabung Haji (TH) dan Bank Islam Malaysia Berhad.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat itu dalam upacara di Istana Bukit Kayangan, di sini, hari ini.

TH diwakili Ketua Pegawai Operasi, Dato’ Adi Azuan Abdul Ghani menyerahkan cek zakat untuk Selangor berjumlah RM15.1 juta.

Sultan LZS (3)Manakala, Bank Islam yang diwakili Pengarah Urusan, Dato’ Seri Zukri Samat menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1.25 juta.

Pembayaran kedua-dua zakat perniagaan itu adalah bagi tahun kewangan 2016.

Sementara itu, Adi Azuan berkata, pembayaran zakat itu mencatatkan peningkatan 2.65 peratus berbanding RM14.7 juta, pada tahun 2015.

“TH memastikan pembayaran Zakat kepada Pusat Pungutan Zakat di seluruh negara dilaksanakan seawal mungkin supaya wang itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

“Saya menyarankan syarikat korporat dan persendirian yang lain membuat pembayaran zakat kepada Pusat Pungutan Zakat supaya mereka dapat melaksanakan program secara lebih terancang dan berimpak tinggi kepada golongan asnaf,” katanya.

Beliau memaklumkan jumlah keseluruhan pembayaran zakat TH 2016 terus mencatatkan peningkatan 1.69 peratus iaitu RM60.3 juta berbanding tahun sebelumnya RM59.3 juta.

“Dengan kenaikan ini, TH akan meningkatkan lagi program pengagihan zakat secara terus kepada asnaf di seluruh negara melalui program Iqra’,” katanya.

-NFN-