OLEH LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 27 MAC: Inisiatif Peduli Siswa diperkenalkan Kerajaan Negeri dilihat sangat membantu anak Selangor di institusi pengajian tinggi (IPT).
DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, peruntukan RM10 juta untuk program berkenaan memberi kemudahan kepada anak Selangor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi MARA untuk membiayai pengajian mereka.
Titah baginda, Selangor memerlukan tenaga kerja berkemahiran dan berilmu sebagai negeri maju berteknologi tinggi, inovatif serta kreatif.
“Pada hemat beta, pendidikan tinggi perlu menjalani transformasi dengan pembaharuan drastik dan menyeluruh. IPT juga perlu menyediakan modal insan berkemahiran tinggi selain menghasilkan graduan cemerlang dalam bidang akademik.
“Kecekapan, kepakaran teknikal, pemerolehan serta peningkatan ‘soft skills’ dan ‘hard skills’ memastikan keluaran graduan dapat memenuhi keperluan industri juga negeri.
“Ini penting untuk mencapai matlamat ‘knowledge economy’ dan gagasan menjadikan Selangor sebagai ‘Smart State’,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor yang ke-13, di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.
Baginda bertitah, generasi muda mempunyai potensi untuk maju sebagai usahawan, bahkan ekonomi rancak negeri membuka peluang perniagaan buat mereka menjana mobiliti, mengurangkan kebergantungan dan melebarkan kemakmuran dalam kalangan golongan terpinggir.
“Beta gembira Kerajaan Negeri komited untuk melatih dan mengupayakan generasi muda bagi membina kepakaran, memahami persekitaran perniagaan, pemasaran dan pengurusan kewangan termasuk melaksanakan Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor dengan peruntukan RM1 juta.
“Sementara itu, Selangor mencatatkan peratusan kebolehpasaran (employability) wanita lebih tinggi berbanding lelaki.
“Ini mencerminkan sikap daya maju wanita Selangor. Beta berkenan dengan penubuhan Institut Wanita Berdaya (IWB) merencana dasar dan kebijakan lebih progresif demi memartabatkan wanita di Selangor,” titah baginda.
-NFN-