Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor puji politik negeri

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 27 MAC: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengingatkan semua pihak bahawa politik bukan hanya untuk memburu kuasa.

Baginda bertitah, politik dalam pengertian sebenar adalah usaha untuk mencapai urus tadbir cemerlang bagi membangunkan negeri.

Baginda berbangga dengan sikap Dato’ Menteri Besar yang tegas menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen iaitu tiang seri kemakmuran negeri juga kesejahteraan rakyat.

DNS MAC 17 (12)“Dalam hal ini, beta berkenan dengan pentadbiran Kerajaan Negeri yang stabil dan meletakkan agenda peduli rakyat mengatasi polemik dan politik sempit.

“Amat malang sekali, politik hari ini dicemari dengan kebencian, kemarahan, fitnah, menimbulkan salah faham antara satu sama lain dan perkauman sempit.

“Beta berkenan Kerajaan Negeri meneruskan amalan politik luhur berteraskan prinsip dan nilai,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor yang ke-13, di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Pada masa sama, baginda menyatakan kegembiraan dengan usaha Kerajaan Negeri membangunkan institusi agama Islam termasuk 60 projek pembinaan masjid, Sekolah Rendah Agama dan Kompleks Islam Daerah dengan kos lebih RM174 juta, sejak 2015.

“Masjid perlu kembali berperanan sebagai pusat pengembangan dan kemajuan intelek serta mengekalkan masjid sebagai tonggak ibadah juga kerohanian.

“Umat Islam di Selangor perlu berpegang kepada ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang menekankan pendekatan kesederhanaan dan ilmu. Islam menganjurkan perdamaian dan hubungan baik sesama manusia,” titah baginda.

-NFN-