Categories
SELANGOR

Pengerusi SPR perlu beri keterangan isu pengundi hilang

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Kerajaan Selangor memohon kepada mahkamah supaya Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipanggil memberi keterangan berhubung keraguan dalam daftar pemilih, khususnya membabitkan butiran 136,272 pengundi yang hilang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keterangan SPR diperlukan ekoran beberapa dokumen yang dikemukakan sebelum ini sangat tidak jelas.

Katanya, dalam jawapan avidafit sebelum ini, SPR mengesahkan maklumat itu dilupuskan dan menyebabkan mereka tidak dapat membekalkan maklumat kepada mahkamah.

“Ini satu perkara serius bagaimana sebahagian pemilih boleh dikekalkan nama penuh, alamat dan butiran lain tetapi 136,272 pengundi di Selangor dilupuskan alamat mereka di dalam daftar pemilih.

“Maka, untuk mendapatkan keterangan tepat adalah lebih adil jika permohonan ini dibenarkan supaya Pengerusi SPR dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya.

azmin-parlimenBeliau berkata demikian selepas menghadiri perbicaraan permohonan semakan kehakiman berhubung persempadan semula oleh SPR di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Susulan itu, Mohamed Azmin berkata, Hakim Yang Arif Azizul Azmi Adnan menetapkan keputusan permohonan memanggil Pengerusi SPR akan dibuat, pada 9 Mac ini.

Pada masa sama, beliau yang juga Timbalan Presiden KEADILAN yakin Kerajan Negeri mempunyai asas kukuh bagi memastikan prosiding seterusnya dijalankan dengan dasar maklumat tepat.

“Sekarang ini afidavit SPR tidak jelas dan memerlukan maklumat tambahan tepat,” katanya.

-AA-