Categories
PBT SELANGOR

Program inisiatif hijau libatkan generasi muda

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meneruskan komitmennya untuk memupuk kesedaran kepentingan memelihara alam sekitar di kalangan masyarakat dengan menganjurkan Program Kem Kesedaran Alam Sekitar Siri 2.

Timbalan Setiausaha MBSA, Rosli Bakar berkata, program tiga hari, dua malam itu melibatkan pelajar sekolah sekitar Shah Alam yang berumur sembilan hingga 15 tahun.

“Program kem kesedaran alam sekitar ini dianjurkan bertujuan mendedahkan pelajar kepada kepentingan amalan kitar semula dalam kehidupan serta kepentingan menjaga dan memulihara alam sekitar untuk masa hadapan.

“Saya turut dimaklumkan kaedah digunakan sepanjang program ini pelajar didedahkan dengan kaedah untuk memastikan peserta mudah mendapat ilmu dan bergembira dengan aktiviti dijalankan sepanjang program,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kem Kesedaran Alam Sekitar Siri 2 di Taman Botani Negara, Bukit Cerakah di sini, hari ini.

MBSA Alam SekitarJelasnya sebelum ini MBSA turut melaksanakan pelbagai program inisiatif hijau ke arah memastikan perbandaran Shah Alam ini sentiasa bersih dan indah melalui program seperti ‘Shah Alam Trees For Life’, Perintis Hijau, Baja Kompos, Program Kitar Semula Bersama F&N Bevereges dan lain-lain program.

Katanya, pencemaran bukan sahaja memberi kesan negatif kepada alam sekitar tetapi juga memberi mampu meninggalkan kesan terhadap kesihatan, populasi, dan keamanan manusia serta hidupan lain.

Katanya lagi, kesan negatif pembangunan ke atas alam sekitar haruslah diseimbangkan dengan usaha pengurusan dan pemeliharaan hutan berkesan dan sistematik.

=EZY=