Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Projek Langat 2 siap akhir 2019

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 30 MAC: Perancangan awal pelaksanaan Projek Langat 2 yang dijangkakan siap suku tahun ini kini berubah dan dijadualkan siap, pada akhir 2019.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, kerja tapak bagi pembangunan Semenyih 2 yang bermula sejak 20 Mei 2016 sudah mencapai 24.14 peratus berbanding jadual 25.5 peratus.

Katanya, projek pembangunan yang masih ditangguhkan kelulusannya oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menurut rekod sehingga 31 Disember 2016 memerlukan bekalan air yang dianggarkan 964 juta liter sehari.

ZAIDY DUN“Bagaimanapun, melalui Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Labohan Dagang dan Semenyih 2 yang sedang dilaksanakan, ia dapat meningkatkan kapasiti boleh agih sementara menunggu Projek Langat 2 siap.

“Loji Rawatan Air Semenyih yang dijangka siap Disember ini berkapasiti 100 juta liter sehari, manakala Labohan Dagang dijadualkan siap pada Disember 2018 dan mampu membekalkan 200 juta liter air sehari,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Sekinchan berkenaan Loji Rawatan Air Labohan Dagang dan Semenyih 2 dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Zaidy berkata, dalam melaksanakan dua projek itu, masalah utama dalam pengambilan balik tanah sudah diselesaikan, manakala pemantauan secara berkala dan rapi melalui mesyuarat diadakan setiap bulan bagi membincangakan kemajuan projek serta mencari penyelesaian bagi sebarang permasalahan yang timbul.

Pada masa sama, Zaidy turut menjelaskan Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Labohan Dagang, Kuala Langat pelengkap kepada sistem agihan air yang menyeluruh bagi kawasan utara, Sungai Langat dan Semenyih.

“Projek ini dapat memberikan bekalan air terawat tambahan khusus menampung permintaan bagi beberapa kawasan. Justeru, masalah air dapat diatasi.

“Apabila Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2 siap beroperasi, ia dapat membekalkan air khusus ke kawasan Semenyih-Beranang, sebahagian kawasan Hulu Langat dan menampung permintaan pembangunan baru di sepanjang Lebuhraya LEKAS,” katanya.

-NFN-