Categories
NASIONAL

Umum segera dua nama pegawai penasihat persempadanan semula

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa Kerajaan Persekutuan mengumumkan dua nama pegawai yang telah dipilih Yang di-Pertuan Agong bagi membuat syor persempadanan bahagian pilihan raya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurutnya, pegawai yang dilantik berdasarkan Fasal 115 (2) Perlembagaan Persekutuan perlu mempunyai pengetahuan luas mengenai topografi dan taburan penduduk bagi memberikan nasihat dalam unit kajian semula bagi pilihan raya persekutuan.

“Ini penting kerana nasihat dua pakar tersebut merupakan asas kepada keperluan proses persempadanan semula.

wan-azizah“Integriti kerajaan dan SPR perlu telus terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kelak,” katanya.

Bercakap pada sidang media di Lobi Parlimen Wan Azizah turut menggesa proses persempadanan semula ini dihentikan sehingga perkara ini dijelaskan kepada rakyat.

“Memandangkan ini tuntutan Perlembagaan, ia perlu dijelaskan secara tuntas.

“Saya selaku Ketua Pembangkang yang diberikan kepercayaan tidak teragak-agak membawa perkara ini kepada perhatian Yang di-Pertuan Agong sekiranya SPR tidak menjelaskan siapakah dua pakar yang memberi nasihat dan dipilih Yang di-Pertuan Agong bagi tujuan persempadanan semula seperti yang diperuntukkan Fasal 115 (2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

-nR-