Categories
ALAM SEKITAR & CUACA PBT SELANGOR

30 lokasi bazar Ramadan disyarat guna pembungkus mesra alam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 APRIL: Kira-kira 1,908 peniaga di 30 lokasi bazar Ramadan kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) disyaratkan menggunakan pembungkus makanan dari bahan mudah urai dan berkonsepkan hijau.

Datuk Bandarnya, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, inisiatif itu selaras dengan kempen dan saranan Kerajaan Negeri untuk menghentikan penggunaan bekas polistrene dan mengurangkan penggunaan beg plastik.

“Dalam mesyuarat baru-baru ini, MBSA bersetuju untuk memperkenalkan pembungkus makanan baru secara seragam kepada peniaga bazar.

“MBSA mensyaratkan kepada peniaga bazar Ramadan pada tahun ini supaya tidak menggunakan bekas polisteren sebaliknya menggunakan pembungkus makanan dari bahan mudah urai dan berkonsepkan hijau,” katanya ketika ditemui.

Zaharin berharap usaha itu disambut baik oleh peniaga dan pelanggan bagi memastikan Selangor bebas plastik.

Bermula Januari ini, Kerajaan Negeri memperluaskan kempen ‘Hari Tanpa Beg Plastik’ selama tujuh hari seminggu bermula awal tahun depan, berbanding pelaksanaan pada setiap hari Sabtu.

Ia sekali gus mahu mencapai sasaran sebagai negeri bebas bekas polistirena sepanjang 2017.

Langkah itu diambil hasil kaji selidik Kerajaan Selangor yang mendapati sebanyak 71 peratus rakyat negeri ini merasakan kempen ‘Bebas Beg Plastik’ yang diadakan setiap pada Sabtu perlu diperluaskan.

=EZY=