Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Agihan dan bantuan asnaf mualaf kini bawah LZS

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 APRIL: Tanggungjawab mengurus agihan dan bantuan bagi asnaf mualaf kini terletak di bawah Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan bukan lagi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, pemindahan fungsi perkhidmatan itu direalisasikan menerusi pewartaan terhadap pindaan Peraturan Pendaftaran, Penjagaan dan Pengajaran Mualaf Tahun 2017 dalam warta Kerajaan Negeri Selangor, pada 16 Mac lalu.

Katanya, ia selaras pemberian kuasa MAIS kepada LZS bagi urusan agihan, bantuan kebajikan dan pendidikan kepada kira-kira 12,000 asnaf mualaf.

“Pemindahan fungsi perkhidmatan itu bertujuan menyelaraskan dan mengelak pertindihan tugasan selain menambah baik sistem perkhidmatan pelanggan sedia ada.

“Ini juga mengelak kelewatan bantuan kepada asnaf mualaf kerana agihan tidak perlu lagi melalui MAIS, sebaliknya LZS boleh terus berurusan dengan mualaf menerusi 27 cawangannya di seluruh Selangor,” katanya dalam sidang media di Bangunan Sultan Idris, di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.

IMG_20170406_104315_110Sejak 2005, Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Mualaf MAIS mula menguruskan asnaf mualaf merangkumi urusan pendaftaran, pengurusan agihan, bantuan kebajikan dan pendidikan.

Mohamad Adzib berkata, pemindahan fungsi kepada LZS bagaimanapun tidak membabitkan dua perkara iaitu urusan pendaftaran juga perundangan mualaf.

“Kedua perkara ini masih kekal diuruskan MAIS kerana kita mempunyai kepakaran terutama berkaitan perundangan jika membabitkan soal kematian, perebutan anak dan sebagainya.

“Dengan tiga fungsi diserahkan kepada LZS, diharap ia dapat menyantuni asnaf mualaf dengan lebih baik dan efisien,” katanya.

Urusan pendaftaran dan pengislaman di bawah MAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah selaras peruntukan di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

-AA-