Categories
KENYATAAN MEDIA

ATM, PDRM fokus keselamatan negara, bukan isu pengguna

OLEH LEE CHEAN CHUNG

SHAH ALAM, 24 APRIL: Saya mengambil maklum Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan menangani masalah kepenggunaan.

Memetik kenyataan Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, kerjasama tersebut perlu memandangkan masalah jumlah premis yang semakin meningkat selain menangani masalah kepenggunaan yang semakin kronik dalam negara.

Beliau berkata ketika ini dengan kekuatan 2,600 pegawai dan anggota KPDNKK, agak sukar bagi pegawai penguatkuasaan kementerian itu untuk berada di semua lokasi serta menangani isu yang dibangkitkan tanpa bantuan pelbagai pihak.

1. Bagi saya, kenyataan itu adalah alasan semata-mata. Hal ini kerana sekiranya pihak KPDNKK melakukan tugas mereka secara berkala dan pemeriksaan terhadap peniaga atau kedai-kedai runcit dengan awal, tanpa menunggu aduan, sudah pasti mereka dapat menangani masalah kepenggunaan di negara ini.

2. Selain itu, saya melihat situasi ini juga telah menganggu tugas sebenar pegawai PDRM dan juga pegawai ATM. Saya mahu pihak kementerian mencari jalan lain untuk mengatasi masalah tersebut, bukannya mencampur adukkan tugas-tugas PDRM dan ATM, mereka perlu lebih fokus kepada isu kelselamatan negara bukannya masalah kepenggunaan.

Untuk mengatasi masalah ini supaya berkesan, saya menyarankan supaya pihak kerajaan menambah bilangan pegawai KPDNKK untuk menyelesaikan masalah ini tanpa perlu menggunakan khidmat pegawai lain, jika jawatan menteri boleh ditambah, mengapa tidak pegawai KPDNKK?

Lee-Chean-Chung3. Pihak KPDNKK mungkin dilihat terbeban, namun itu bukan alasan untuk mereka tidak menjalankan tanggungjawab mereka. Saya harap mereka tidak lepas tangan kerana rakyat terbeban dengan kenaikan harga barangan yang semakin melambung tinggi.

4. Selain Projek Penguatkuasaan Seimbang (PPS) bagi tempoh 2017 hingga 2020 yang dicadangkan oleh KPDNKK bagi mendepani cabaran dan isu pegawai penguatkuasa tidak kelihatan di lapangan, isu keberkesanan penguatkuasaan serta tahap pematuhan perundangan oleh peniaga juga perlu ditingkatkan.

Pihak KPDNKK juga perlu mencari sebab-sebab yang lain kenapa pegawai mereka tiada di lapangan untuk memantau peniaga-peniaga yang menaikkan harga barangan.

5. Melihat kepada trend terkini, kedudukan ekonomi Malaysia semakin teruk ditambah pula faktor kejatuhan ringgit Malaysia yang semakin lemah, hal ini mengundang bebanan kepada rakyat ekoran kenaikan harga barangan yang dilihat mendadak sehingga ada yang tidak masuk akal harganya.

Kebanyakkan kenaikan harga dikesan pada musim perayaan. KPDNKK tidak perlu menunggu musim berkenaan, mereka perlu segera memperbaiki serta membuktikan kepada seluruh rakyat akan berkesanan pasukan penguatkuasaan mereka dalam melaksanakan fungsi-fungsinya serta meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia dengan menangani kos sara hidup dan harga barang yang melambung tinggi.

*Lee Chean Chung adalah ADUN Semambu