Categories
KENYATAAN MEDIA

Batal projek PBT, kerajaan tiada wang?

OLEH FUZIAH SALLEH

Saya merujuk kepada kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar bahawa sejak tahun lalu peruntukan untuk KPKT sangat terhad dan ia tidak boleh diagihkan kepada semua 222 kawasan parlimen di negara ini.

Menurut Noh, kementeriannya terpaksa mengutamakan kelulusan projek kerajaan tempatan di kawasan parlimen dan Dun yang dikuasai Barisan Nasional (BN) yang menang pada pilihan raya umum lalu terlebih dahulu.

1. Bagi saya, tindakan Noh Omar yang mengarahkan pembatalan projek kemudahan asas di kawasan-kawasan dikuasai pembangkang menguatkan lagi bukti bahawa kerajaan sebenarnya sudah tidak ada wang untuk menampung sebarang projek.

Ini bermakna pembentangan belanjawan yang menyatakan negara ada pendapatan yang banyak dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi, adalah dengan sengaja menyelewengkan pemikiran rakyat kerana terbukti sebelum pengumuman itu, kerajaan memang tidak dapat lagi memberikan peruntukan atas sebab keadaan kewangan yang terhad.

2. Dalam isu ini, Noh Omar tidak ada hak membatalkan projek untuk semua rakyat Malaysia, ini kerana semua projek BP 1 merujuk kepada projek-projek infrastruktur berskala kecil di peringkat majlis tempatan di kawasan Parlimen, ia perlu diberikan tanpa mengira fahaman politik, kerana itu merupakan hak rakyat dalam negara demokrasi seperti Malaysia.

Malah sekiranya Noh bertindak demikian beliau bukan sahaja menghukum majoriti pengundi yang memilih pembangkang sebagai wakil mereka akan tetapi tindakan itu juga menghukum pengundi BN dikawasan tersebut.

Fuziah-SallehSaya melihat di Parlimen Kuantan, sebagai contoh di Taman Gelora, kerajaan tidak dapat mengekalkan kemudahan asas seperti memotong pokok-pokok tua serta membaikpulih kemudahan sukan dan rekreasi. Kawasan ini merupakan tempat riadah terutama penduduk di sekitar Kuantan, kerana berhampiran dengan pantai.

Selain itu, masalah di taman bersebelahan sungai Galing menghadapi keadaan yang sama. Lebih parah lagi kawasan seperti Kampung Kurnia yang masih tidak disediakan tong sampah yang mencukupi oleh PBT untuk penduduk setempat sehingga menimbulkan masalah kebersihan pula. Ini contoh diKuantan dan saya yakin perkara yang sama berulang diseluruh negara.

3. Bertambah malang lagi, apabila semua wang untuk keperluan rakyat terpaksa digunakan bagi menampung hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibuat oleh pimpinan tertinggi Umno-BN, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Akhirnya, rakyat yang terpaksa menangung semua beban yang dibuat Najib dan menteri-menteri Umno BN.

4. Apa yang jelas, dalam trend terkini adalah taktik kotor BN yang ditunjangi Umno mula terserlah apabila yang kaya terus buat kesilapan dalam pentadbiran, negara berhutang dan Menteri Umno BN bersenang lenang.

*Fuziah Salleh adalah Ahli Parlimen Kuantan