Categories
AGENSI SELANGOR

PREC agih bantuan makanan, zakat kepada lima keluarga terjejas banjir

SHAH ALAM, 30 DIS: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) mengagihkan bantuan makanan dan zakat kepada lima keluarga terjejas banjir di Meru, Klang dan Padang Jawa, Shah Alam hari ini.

Agensi berkata ‘Misi Meringankan Beban dan Agihan Wang Zakat’ itu dibantu enam artis dari Indigital Music iaitu Syahmi, Aufahanie, Nomad, Killa Driz, Aliff Iskandar dan Syafiq Naser.

“PREC menyumbang barangan asas seperti minyak masak, kopi, susu, teh, tisu tandas selain barangan elektrik dan dapur masak bagi menggantikan barangan mangsa yang rosak akibat banjir.

“Siri pengagihan zakat berjumlah RM40,500 akan dilakukan dari semasa ke semasa kepada 17 rumah terpilih dan dijangka selesai awal Januari 2022,” katanya.

Tambahnya, usaha itu turut mendapat sokongan syarikat berjenama seperti Faiza yang menyumbang beras dan tepung manakala Adabi menyumbang makanan sedia dimakan seperti rendang daging, kari ayam, makanan ringan, selain tepung cucur dan banyak lagi.

Menurut PREC lagi, Bazaarlokal juga menganjurkan jualan amal bertemakan ‘Charity Is Fun’ bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

“Pembelian boleh dibuat di booth Bazaarlokal yang terletak di aras bawah, SACC Mall dengan barangan premium serendah RM50 atau pembelian merchandize Bazaarlokal serendah RM1,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Program Jom Beli di Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall diteruskan

SHAH ALAM, 13 OGOS: Program Jom Beli di Kompleks PKNS Shah Alam dan SACC Mall diteruskan sehingga akhir tahun ini bagi merancakkan aktiviti perniagaan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) Fakru Radzi Ab Ghani berkata program diadakan setiap hujung bulan sehingga minggu pertama bulan berikutnya mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Program ini secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan hasil jualan peniaga malah kita tidak mengenakan sewa terhadap peniaga kecuali kos pemasangan prasarana sahaja,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah walaupun kebanyakan hasil jualan peniaga kurang memberangsangkan namun terdapat peningkatan dari semasa ke semasa sejak sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula pada 6 Mei lalu.

“Hasil jualan bergantung pada jenis perniagaan, misalnya produk makanan dan servis menunjukkan kenaikan lebih tinggi berbanding (produk) pakaian,” katanya lagi.

SelangorKini sebelum ini melaporkan peniaga di Kompleks PKNS Shah Alam dan SACC Mall dibenarkan mempromosi jualan di ruang legar pusat beli-belah itu membabitkan 66 tapak jualan.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

PREC: Tuduhan Ikhlas tidak berasas, Imigresen tambah sewa

SHAH ALAM, 11 JULAI: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menyifatkan tuduhan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berhubung perpindahan sebahagian kakitangan Jabatan Imigresen Selangor daripada Kompleks PKNS Shah Alam (KPSA) sebagai tidak berasas.

Pemangku Pengurus Pusatnya Syahril Mohd Rashid berkata pihaknya kesal dengan dakwaan dilempar Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas) berkaitan petugas jabatan itu dipindah ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) Selangor.

“Mereka (Ikhlas) mengatakan separuh (kakitangan Imigresen Selangor) ‘lari’ ke UTC. Fakta itu tidak tepat sama sekali sebaliknya Ibu Pejabat Imigresen Selangor di tingkat dua menambah keluasan sewaan daripada 28,000 kaki per segi kepada 70,000 kaki per segi.

“Malah perkara ini (tambahan keluasan) sedang dijalankan dan segala pengubahsuaian dijangka dapat diselesaikan menjelang suku pertama tahun depan,” katanya pada sesi temu bual bersama SelangorKini.

Mengulas perpindahan Bank Simpanan Nasional (BSN) dari kompleks berkenaan, Syahril menjelaskan cawangan perbankan itu sudah memiliki bangunan sendiri di kawasan berhampiran.

Sementara itu, katanya penutupan cawangan restoran berasaskan makanan jalanan Thailand, Boat Noodle di KPSA adalah sejajar usaha pengecilan operasi dilakukan pengusahanya susulan situasi sukar akibat Covid-19.

Categories
AGENSI SELANGOR

PREC hilang pendapatan RM9.2 juta akibat PKP

SHAH ALAM, 4 JULAI: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) mengalami penyusutan pendapatan kira-kira RM9.2 juta susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata ia berhubung kait dengan operasi di pusat membeli-belah termasuk aset di bawah pengurusannya seperti Kompleks PKNS Shah Alam, Kompleks PKNS Bangi, SACC Mall, Wisma Yakin dan Menara Worldwide.

“Kita terkesan dengan kehilangan pendapatan daripada rebat sewa diberi kepada peniaga berjumlah RM2.8 juta selain perlu menanggung kos penyelenggaraan bagi memastikan barang milik penyewa dalan keadaan selamat dan kedai tidak dipecah masuk.

“Penganjuran Festival Ramadan Selangor (Festira) yang terpaksa dibatalkan juga menjejaskan pendapatan sebanyak RM6.4 juta termasuk penyewaan 1100 lot gerai di ketiga-tiga pusat membeli-belah berkenaan,” kata Fakru Radzi Ab Ghani kepada SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya kini menanggung kos tambahan seperti penyediaan barang keperluan sanitasi, kekerapan pembersihan dan kos berkaitan sebagai mematuhi tatacara operasi piawai selain tidak termasuk tunggakan penyewa berjumlah RM5 juta.

Categories
AGENSI SELANGOR

‘Detailing Garage’ penuhi aspirasi hab otomobil Selangor

SHAH ALAM, 4 JAN: Anak syarikat milik penuh PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), Park Here Sdn Bhd (PHSB) mengorak langkah setapak lagi dalam mempelbagai cabang perniagaan apabila memperkenalkan perkhidmatan perincian auto ‘Detailing Garage’ kepada ahli berdaftar dengan pengurusan itu.

Ketua Pengurusan PHSB, Mohd Ardisham Mohamad Shahir berkata, pengenalan khidmat terbaharu itu sebagai mencerminkan komitmen perunding tempat letak kenderaan terbabit untuk mencapai aspirasi menuju ke arah hab otomobil di Selangor.

Katanya, beliau mahu melebarkan sayap dalam industri berkenaan dengan membekal peralatan berteknologi tinggi kepada pelanggan, di samping memainkan peranan penting terhadap pengurusan tempat letak kenderaan di seluruh bangunan milik PREC.

“Selepas melihat hala tuju ekonomi Selangor semakin berkembang dengan meletakkan 10 kluster (dalam ekonomi), kita memilih salah satu (daripada kluster) iaitu pengangkutan untuk memastikan hasrat menjadi hab otomobil dapat direalisasikan.

“Justeru, kita sudah membina dan menambah beberapa divisyen perniagaan baharu merangkumi ‘Park Here Equipment’, ‘Park Here Valet Service’, ‘Park Here Trading’ termasuk ‘Detailing Garage’ untuk melengkapkan perjalanan PHSB,” katanya ketika ditemui pemberita di Atria Warisan, Kompleks PKNS di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani; Pengurus PHSB, Marizana Mustafa dan Ketua Pembangunan Perniagaan PHSB, Norasidi Mhd Rashid.

Majlis pelancaran itu turut menyaksikan kira-kira 30 ahli berdaftar mendapat kad keahlian masing-masing termasuk aksesori daripada pakar dandanan kereta, GM Tech Auto Care seperti ‘spray & wipe’ tanpa air, kain mikro fiber berserta sehelai t-shirt.

Mengulas perancangan masa hadapan, Ardisham berkata, pihaknya akan membuka sekurang-kurangnya lima outlet di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada ahli PHSB.

“Cadangan penambahan akan dibuat di sekitar Seksyen 7, Shah Alam, Ara Damansara dan Subang bagi menampung lokasi sedia ada yang terdapat di ruang bawah tanah Kompleks Pusat Konvensyen Shah Alam.

“Malah, kita juga akan menjalin kolaborasi bersama beberapa rakan strategik untuk menyediakan sebuah pusat sehenti perincian kereta kepada ahli dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan lain seperti tayar dan tinted,” katanya.

PHSB ditubukan pada 2 Julai 2013 dan mula beroperasi pada 1 Ogos 2015 di Presint 6.1, Persiaran Dato Menteri, kemudian Kompleks PKNS Shah Alam, Menara PKNS Petaling Jaya, SACC Mall, Menara WorldWide Jalan Bukit Bintang, Dana 1 Ara Damansara dan Kompleks PKNS Bangi.

Categories
AGENSI SELANGOR

10 pasukan berentap dalam Battle of The Band esok

SHAH ALAM, 13 SEPT: Sebanyak 10 pasukan bakal berentap dalam Pertandingan ‘Battle of The Band’ Peringkat Negeri Selangor 2019, di Black Box@SACC Mall, di sini, esok.

Pertandingan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dengan kerjasama PKNS Real Estate (PREC) itu bermula 10 pagi hingga 4 petang dengan menyaksikan 16 peserta turut bersaing bagi acara nyanyian solo.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, kesemua peserta terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah bagi merebut kejuaraan mewakili Selangor ke peringkat kebangsaan di Melaka, pada 17 hingga 20 September ini.

“Program ini adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) PREC dalam menyokong hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Selangor, khususnya Shah Alam sebagai sebuah kota seni.

“Selain itu, kita juga mahu melahirkan insan yang berdaya saing dan merangkumi segala aspek akademik, sosial, kebudyaan dan spiritual,” katanya.

Katanya, program seumpama itu juga dapat mempromosikan Selangor kepada pelancong domestik dan luar negara khasnya menerusi aktiviti kesenian serta kebudyaan dengan pelbagai pendekatan riadah.

“Pengunjung juga dapat berhibur dan membeli-belah selain program ini dapat menjadikan Black Box@SACC Mall sebagai hab rujukan kesenian dan kebudayaan di Selangor.

“Justeru, orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan persembahan yang bakal dipamerkan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar Selangor,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Dua pelari veteran cipta rekod MBOR sempena Larian Merdeka Muhibbah

SHAH ALAM, 1 SEPT: Dua pelari veteran, Nasir Abas, 64, dan rakannya, Krishnan Andy, 61, mengukir nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas berjaya menamatkan Larian Merdeka Muhibbah sejauh 540kilometer (km), semalam.

Kedua-dua warga emas yang juga pesara tentera memulakan larian sejak 19 Ogos lalu dari Medan Bandar, Alor Star sebelum mengakhiri misi selama 12 hari itu di Dataran Barat, Shah Alam Convention Centre (SACC) Mall, pada malam kemerdekaan.

Penyertaan mereka dalam larian kali ini adalah sempena Karnival Merdeka Muhibbah 2019 anjuran PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), bermula 28 Ogos hingga 1 September.

Untuk rekod, Nasir pernah mencipta rekod melakukan larian sejauh 1,754km menyusuri Semenanjung Malaysia dari Kelantan ke Johor dan pulang ke Kedah pada 2002 selama sebulan.

Beliau turut mencipta rekod melakukan Larian Solo dari Tawau, Sabah ke Kuching, Sarawak pada 2003 sejauh 2,058km selama 48 hari dan larian solo sempena kejayaan pasukan Kedah merangkul Piala Malaysia sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung sepanjang empat hari Karnival Merdeka Muhibbah berlangsung di SACC Walk dan SACC Mall.

Katanya, karnival itu menjadi salah satu daya penarik masyarakat di sekitar Shah Alam untuk bersama menyambut kemerdekaan di kedua-dua lokasi berkenaan selain menyemai semangat cinta dan bangga terhadap negara tercinta.

“Kami membawakan aktiviti seperti Beyblade Merdeka Battle yang menawarkan hadiah berjumlah RM1,300 dengan pendaftaran sebanyak RM10 sahaja untuk kategori kanak-kanak berumur 14 tahun ke bawah.

“Terdapat juga Upin Ipin Store, Pertandingan Mewarna Upin Ipin Kemerdekaan 2019, permainan kanak-kanak, jualan produk Industri Kecil Sederhana (IKS) dan paling menarik adalah ketibaan pelari duo veteran yang mencipta sejarah dalam MBOR itu,” katanya dalam kenyataan.

Malam Ambang Kemerdekaan ke-62 dihangatkan dengan persembahan artis tanah air dan luar negara selain persembahan buskers daripada 6ixth Sense, Dinamik, Jinbara, Assalambuskers, Klangit, Zamarul Hamzah serta Zara Ali.

Fakru Radzi berkata, pengunjung yang hadir tidak perlu risau untuk memikirkan lokasi tempat makan yang menarik kerana karnival itu turut menyediakan ruang jualan makanan dan produk IKS di lot parkir Kompleks PKNS Shah Alam.

“Antara makanan yang menarik seperti nasi briyani Putra Jaya, kambing bakar, ABC dan sup utara,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Angin Dewa rangkul emas pertandingan Teater

SHAH ALAM, 27 JUL: Produksi Angin Dewa berjaya merangkul emas pada Pertandingan Teater Peringkat Sekolah Menengah Negeri Selangor 2019 di Black Box@SACC Mall di sini, Rabu lalu.

Pasukan terbabit mengungguli pertandingan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dengan kerjasama PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menerusi persembahan mengagumkan seterusnya layak mewakili Selangor ke Terengganu bagi pertandingan peringkat kebangsaan tidak lama lagi.

Pemangku Pengurus Pusat PREC, Syahril Mohd Rashid berkata, enam pasukan terdiri daripada 130 pelajar Sekolah Menengah di sekitar Selangor bertanding bagi merebut gelaran anugerah utama itu.

“Pertandingan ini membantu memperkasa bahasa kebangsaan selain berkomunikasi dengan lebih baik.

“Ini adalah salah satu daripada kaedah pembelajaran menyeronokkan dengan suntikan elemen teater bagi mempamerkan unsur nilai murni dan memberikan pengajaran dalam kehidupan seharian,” katanya.

Selain menggondol gelaran utama, Angin Dewa turut mengungguli beberapa kategori lain antaranya Pelakon Harapan Lelaki Terbaik (Watak Subash), Pengarah Terbaik termasuk dua kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi watak Mahadi dan Mahani.

Mengulas penganjurannya, Syahril berkata, pendidikan dan kebudayaan adalah salah satu daripada cabang dalam tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya yang menjadi faktor utama PREC mengalukan program kerjasama bersama pihak universiti, sekolah serta badan-badan NGO berkaitan.

“Sinerji yang terjalin antara PREC dan JPNS ini dapat mewujudkan suasana kondusif dalam meningkatkan pencapaian serta kejayaan dalam pendidikan serta hal berkaitan pembangunan negara seperti kesihatan juga kebajikan selain membentuk modal insan berkualiti dalam kalangan peserta,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Kokurikulum JPNS, Sazali Baharudin menyifatkan keberanian ditonjolkan pelajar tidak mungkin ada pada pelajar lain.

Katanya, pembabitan pelajar pada pertandingan itu akan menyumbang 10 peratus markah dalam sijil kokurikulum sebelum mereka menyambung pelajaran ke menara gading.

“Dahulu, program kami dilakukan di sekolah dan hanya pihak sekolah serta pelajar selain ibu bapa sahaja yang celik dengan program ini, namun kini kami amat berterima kasih kepada PREC atas tawaran diberikan untuk bekerjasama dengan memberikan ruang, Black Box@SACC Mall sebagai pentas teater pelajar menonjolkan bakat untuk tontonan awam,” katanya.

Categories
SELANGOR

Transformasi Kompleks PKNS, bawa nafas baharu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 JUL: Biarpun sudah mencecah usia 40 tahun, Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Shah Alam masih kekal relevan dengan arus semasa.

Bagaimanapun, atas usaha sama anak syarikat Kerajaan Negeri, PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) rancak melakukan transformasi daripada sudut rekabentuknya supaya ia kelihatan lebih segar dan selesa.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, transformasi itu juga dilakukan bertujuan memberikan keselesaan kepada pengunjung ketika berkunjung ke kompleks berkenaan.

Katanya, antara transformasi dilakukan adalah penambahbaikan surau dengan nama baharu iaitu, Musolla Al-Kauthar yang mampu memuatkan seramai 100 jemaah dalam satu-satu masa berkonsepkan industrial.

“Kemudahan seperti ruang menunggu, ruang wuduk mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas, tandas serta bilik menyiapkan bayi yang berdekatan menjadi salah satu faktor utama diambil kira dalam proses transformasi dilaksanakan.

“Malah, kita turut bekerjasama dengan pihak jawatankuasa surau Kompleks PKNS bagi mengimarahkan dengan aktiviti bermanfaat seperti tazkirah, solat terawih, kenduri doa selamat, tahlil dan aktiviti fardhu ain,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Fakru Radzi berkata, medan selera di tingkat empat juga tidak ketinggalan dalam mengalami proses transformasi yang kini dinamakan dengan nama Makan@Bumbung.

Menariknya, katanya, PREC akan membawakan aktiviti rekreasi untuk kanak-kanak dan dewasa seperti futsal, playground dan rock climbing di tingkat empat ini selain menikmati makanan dan pemandangan yang disajikan.

“Bagi yang ternanti-nanti untuk menikmati makanan di Makan@Bumbung, ia akan mula beroperasi pada bulan hadapan.

“Selain itu, PREC turut melakukan renovasi membabitkan fasad luar bangunan dengan mengenengahkan salah satu elemen unik di sudut bangunan bagi menampakkan logo PKNS,” katanya.

Beliau berkata, segala penambahbaikan yang dilakukan di kompleks itu dititikberatkan kerana ia menjadi tumpuan utama menjelang Ramadan dan Aidilfitri untuk umat Islam mendapatkan juadah berbuka puasa serta menyediakan kelengkapan Hari Raya.

Katanya, pilihan reka bentuk dan warna itu menjadikan suasana persekitaran kelihatan lebih hangat dan mesra.

rhdr

“PREC sentiasa menyokong matlamat dalam menjadikan Shah Alam sebagai sebuah Kota Seni dengan menyuntik unsur kesenian dalam tranformasi yang dilakukan.

“PREC mengambil langkah proaktif bagi memastikan semua kemudahan bangunan berkeadaan baik melalui transformasi seperti tandas dan penghawa dingin supaya pengguna dapat berbelanja dalam suasana nyaman, selesa dan kondusif.

“Saya percaya transformasi yang dilakukan PREC ini mampu memberikan kesan positif daripada sudut ekonomi dan sektor pelancongan dengan penambahan pengunjung ke Shah Alam khususnya,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kembara Ramadan PREC santuni 354 anak yatim dan asnaf

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 MEI: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) memberi sumbangan Aidilfitri kepada 354 anak yatim dan asnaf miskin di enam rumah kebajikan terpilih sekitar Selangor pada program Kembara Ramadan PREC 2019 di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, sumbangan diberikan dalam bentuk wang tunai sebagai duit raya dan barangan elektrik.

Katanya, program itu adalah salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu masyarakat memerlukan dengan wang zakat diperuntukkan tahun ini.

“PREC sentiasa komited menyalurkan sumbangan kepada rumah dan badan kebajikan terpilih selepas menilai serta melakukan lawatan berdasarkan khidmat nasihat daripada pihak Lembaga Zakat Selangor.

“Kami melihat sumbangan ini satu keperluan dalam membesarkan anak-anak bermula dari rumah dan di sekolah yang sememangnya memerlukan kos banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sebelum bermulanya acara ‘flag off’ di Valet Parking SACC Mall, di sini, hari ini.

Kembara Ramadan PREC 2019 membabitkan hampir semua kakitangan PREC dan anak syarikatnya Park Here Sdn Bhd (PHSB) yang turut turun padang bagi memberikan sumbangan itu.

Antara rumah yang dikunjungi adalah Rumah Amal Limpahan Kasih, Maahad Tahfiz Al Ulum Wal Ghazaly, Pusat Jagaan Nur Sakinah, Rumah Kebajikan Al-Firdaus, Pusat Jagaan Budi Bistari dan Pertubuhan Kebajikan Baitul Islah.

Majlis pelepasan dilaksanakan Ketua Ahli Jawatankuasa Kerja PREC merangkap Pengurus Kanan Teknologi Maklumat PKNS, Saharom Mohni.

Menerusi lawatan itu, kakitangan PREC dan PHSB turut berpeluang mempereratkan ukhuwah bersama anak-anak terbabit dengan aktiviti yang dirangka seperti sesi bersama maskot, ahli silap mata, badut, kuiz dan origami kreatif.

 

Categories
SELANGOR

PREC sumbang RM5,000 buat Maahad Tahfiz Al Iman Wal Mahani

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 14 MEI: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menyalurkan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada Maahad Tahfiz Al Iman Wal Mahani Jalan Kebun, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fakru Radzi Abd Ghani berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya bagi menampung keperluan pelajar di institusi tahfiz yang ditubuhkan sejak 2016.

“Perkara ini biasa dilakukan pihak kami sepanjang Ramadan kerana kita merasakan hanya pendekatan seperti ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka.

“Kita juga akan salurkan sumbangan di rumah tahfiz dan kebajikan lain selepas ini memandangkan sumbangan zakat sememangnya perlu diagihkan oleh syarikat kepada institusi tahfiz yang memerlukan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Musolla Al-Khauthar di Kompleks PKNS Shah Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek dan Pengerusi merangkap Ahli Lembaga Pengarah PREC, Siti Zubaidah Abd Jabar.

Fakru Radzi berkata, pihaknya bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk memilih institusi tahfiz dan rumah kebajikan yang layak menerima sumbangan berkenaan.

“Jadi, mereka (LZS) memajukan rumah tahfiz yang benar-benar memerlukan pertolongan dan kita turut sama membantu institusi tahfiz ini melalui sumbangan zakat,” katanya.

Terdahulu, seramai 31 pelajar tahfiz berkenaan turut menerima sumbangan PREC selain diraikan bersama dalam majlis berbuka puasa sejurus perasmian musolla terbabit.

Categories
SELANGOR

Ziana Zain antara artis meriahkan FESTIRA’19

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 1 MEI: Festival Ramadan Selangor 2019 (FESTIRA ’19) edisi ke-7 anjuran PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) bakal menampilkan barisan artis lagenda malaysia.

Menerusi FESTIRA ’19 kali ini, peminat berpeluang menyaksikan persembahan isitmewa daripada Ziana Zain, Mamat Exist dan juga kumpulan nasyid terkenal, Raihan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, pengunjung yang datang di karnival dapat membeli belah bagi persiapan raya selain disajikan dengan hiburan percuma serta peluang berjumpa dengan artis.

“Kehadiran penyanyi terkenal seperti Ziana Zain dan Mamat Exist pasti akan memeriahkan lagi FESTIRA ’19 pada kali ini,” katanya ketika di temui media di majlis perasmian FESTIRA’19 di kompleks PKNS, di sini, semalam.

Pada masa sama, Ahli Jawatankuasa Kerja PREC merangkap Pengurus Kanan Teknologi Maklumat PKNS, Saharom Mohni berkata, PREC telah mengambil langkah baharu dengan menyediakan pembayaran transaksi tanpa tunai dan applikasi e-dompet kepada peniaga di aset miliknya.

“Tahun ini, peniaga di aset milik kami melangkah mengikut arus pemodenan dengan menyediakan pembayaran transaksi tanpa tunai dan juga applikasi e-dompet,

“Ini adalah inisiatif baharu pihak kami untuk cuba menggalakkan peniaga- peniaga menjalankan transaksi secara tanpa tunai,” katanya

Menariknya, karnival ini turut menyediakan pengisian aktiviti pentas menarik seperti pertandingan pencarian bilal muda, pertandingan mewarna, persembahan angklung, pertandingan mencanting batik, persembahan buskers, aktiviti memasang pelita dan banyak lagi bermula 11 Mei hingga 2 Jun.

Selain persembahan artis dan aktiviti menarik, pengunjung juga berpeluang merebut hadiah duit raya berjumlah RM22,000 bagi pembelian melebih RM200 bagi mereka yang membeli belah di kesemua bangunan PKNS.