Categories
SUKANKINI

Espindola dan Bobby Gonzales ketuai jentera serangan PKNS FC

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 APR: PKNS FC bakal merombak gandingan jentera serangan bertemu Johor Darul Takzim (JDT) Sabtu ini selepas ketiadaan dua tonggak utama, Mohd Safee Mohd Sali dan Patrick Ronaldinho Wleh.

Jurulatihnya, E Elavarasan berkata, beliau mempertimbangkan untuk menggandingkan Lucas Sebastian Espindola dan Bobby Gonzales bagi mengisi kekosongan itu.

“Patrick terpaksa menjalani penggantungan sementara Mohd Safee tidak boleh bermain menentang JDT berdasarkan kontrak yang dipersetujui sebelum ini. Kita akui berhadapan ketumpulan jentera serangan akibat ini tetapi masih memerlukan penyerang di bahagian hadapan.

“Saya mungkin meletakkan Espindola dihadapan bergandingan dengan Bobby,” katanya.

PKNS FCElavarasan berkata, beliau tidak terlalu memikirkan kesan ketiadaan dua tonggak utama serangan itu, sebaliknya berharap pemain mengikut perancangan dibuat sebelum ini seperti ditunjukkan ketika bertemu Kedah.

Menurutnya, JDT merupakan sebuah pasukan mantap dan mempunyai kelebihan selain mahu mengekalkan kedudukan selaku pendahulu Liga Super tambahan sudah menghasilkan 10 gol dalam dua perlawanan terakhir.

“Kita pernah menentang mereka dan JDT mempunyai jentera serangan yang kuat. Bahagian pertahanan perlu berkerja keras dan saya percaya kita mampu menghasilkan keputusan positif seperti di Kedah.

“JDT mahu mengekalkan kedudukan selaku pendahulu manakala PKNS FC mahu kekal layak beraksi dalam Piala Malaysia,” katanya.

-nR-