Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pembantu warden tahfiz direman semula

SHAH ALAM, 29 APRIL: Pembantu warden lelaki di pusat tahfiz di Kota Tinggi, Johor Bahru yang ditahan kerana disyaki mendera seorang pelajar di situ, direman semula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Kota Tinggi bagi membolehkan suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Reman tujuh hari itu bermula hari ini hingga 3 Mei depan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, suspek direman empat hari mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, sebelum disambung lagi tempoh remannya selama tiga hari.

Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di rumahnya di Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi jam 4 petang, pada Sabtu lalu selepas ibu mangsa membuat laporan polis.

Dalam kejadian itu, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, dipukul dengan paip getah hingga menyebabkan kecederaan pada kedua kakinya.

Mohamad Thaqif kemudian dipotong kedua belah kaki hingga paras paha ekoran dijangkiti kuman setelah dipercayai didera pembantu warden berkenaan.

Mangsa meninggal dunia pada jam 2.05 petang, Rabu lalu di Hospital Sultan Ismail dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Aping Timur, pada malam hari yang sama.

Sumber: BERNAMA