Categories
SELANGOR

JAIS rai pesakit kanak-kanak

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 16 APRIL: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) meraikan pesakit kanak-kanak di enam buat hospital secara serentak menerusi programnya Ziarah Mesra Pesakit, hari ini.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam bahagian Dakwah JAIS, Azura Anuar berkata, program terbabit bertujuan untuk memberikan sedikit keceriaan kepada kanak-kanak yang terlantar di hospital.

Katanya, ia juga bagi merapatkan silaturrahim dengan ibu bapa selain membawa mesej dakwah.

“Program ziarah mesra pesakit ini mula dilaksanakan pada 2013 oleh bahagian dakwah dan menjadi program tahunan.

“Ia dilaksanakan enam tahun sekali ke beberapa buah hospital secara serentak,” katanya ketika ditemui di program itu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, di sini.

Azura berkata enam buah hospital itu membabitkan Hospital Klang, Banting, Selayang, Serdang, Kajang dan Sungai Buloh.

Katanya, program terbabit mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak.

Pada masa sama, beliau berkata program itu turut menampilkan Ahli Kelab Fasilatator dan Sukarelawan JAIS.

“Program seperti ini turut memberi pendedahan kepada ahli kelab bagaimana untuk mereka belajar menyantuni pesakit.

“Setakat ini, kita mempunyai seramai 198 orang ahli kelab ini yang memberikan komitmen sepenuhnya dalam pelbagai lagi program,” katanya.

Dalam program itu, seramai 10 kakitangan JAIS dan lapan ahli kelab hadir ke Hospital Klang dengan menghadiahkan 70 belon dan ‘goodies bag’ kepada pesakit kanak-kanak itu.

=EZY=