Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kepentingan rakyat dan negara jadi keutamaan KEADILAN, fokus tumbang Umno-BN

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR MELAKA, 16 APRIL: Kepentingan rakyat perlu terus diletakkan KEADILAN sebagai prinsip utama dalam usaha parti itu bersama Pakatan Harapan (PAKATAN) mengambilalih pentadbiran negara di Putrajaya dalam pilhan raya umum ke 14 (PRU14).

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kejayaan dicapai parti pada masa ini adalah perjuangan dirintis Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 18 tahun lalu perlu diteruskan kepimpinan sedia ada dengan pegangan kukuh dalam menegakkan kepentingan rakyat.

“Apabila kita menang seperti di Selangor dan Pulau Pinang, apa kita janjikan dan akan kita kotakan untuk rakyat, mesti ditunaikan kerana rakyat menilai segalanya.

“Pengorbanan dalam perjuangan ini perlu diteruskan dengan kemenangan diraih adalah kemenangan rakyat dan semua maka penyatuan dicapai dikekalkan kerana akan menghadapi PRU akan datang,” katanya dalam majlis perasmian Konvensyen KEADILAN Melaka di sini, semalam.

Wan AzizahMajlis terbabit turut dihadiri Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi KEADILAN Melaka, Shamsul Iskandar Md Akin serta pemimpin juga hadirin lain.

Beliau berkata, kemenangan 52 peratus dicapai dalam PRU lalu biarpun dinafikan Umno-BN, harus menjadi panduan dengan membuktikan keupayaan dalam memberikan tawaran terbaik melalui pentadbiran berkesan di negeri diwakili.

Katanya, seperti apa dilakukan di Selangor adalah bukti jelas kepentingan rakyat menjadi fokus utama pentadbiran Kerajaan Negeri diketuai Mohamed Azmin selaku Dato’ Menteri Besar.

“Mengapa sekarang ini kita perlu menukar kerajaan sedia ada? Ini kerana pentadbiran negara diketuai Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) menjadi terkenal dengan pelbagai isu memalukan.

“Keadaan kini makin meruncing kerana nilai ringgit mengalami kejatuhan, harga minyak naik manakala rakyat mengalami keperitan,” katanya.

=EZY=