Categories
NASIONAL

PAKATAN galas harapan rakyat, ambilalih pentadbiran negara PRU14

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR MELAKA, 16 APRIL: Kerajaan Selangor diterajui Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya menganjurkan pelbagai program kebajikan untuk manfaat rakyat kerana ia ditadbir penuh integriti dan bertanggungjawab hingga mampu mencatat pencapaian ekonomi membanggakan.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia berbeza dengan Umno-Barisan Nasional (BN) apabila laporan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menunjukkan ekonomi negara berada dalam keadaan parah.

“Bagaimanapun mengikut laporan sama, negeri terbaik dalam pencapaian ekonomi adalah Selangor.

“Rizab kita sekarang hampir RM4 bilion, pencapaian dicatat itu dalam keadaan kita banyak membantu melalui pelbagai program dijalankan seperti pemberian air percuma, skim peduli sihat dan sebagainya.

“Jika kita tidak lakukan ini di Selangor, rizab negeri bukan RM4 bilion tetapi mungkin RM7 hingga RM8 bilion tetapi ia tidak bermakna kalau rakyat menderita kerana ia adalah dasar parti untuk mempertahankan keadilan sosial di mana kini Selangor menjadi contoh bagi negara,” katanya dalam majlis perasmian Konvensyen KEADILAN Melaka di sini, semalam.

Majlis perasmian konvensyen disempurnakan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dihadiri Pengerusi KEADILAN Melaka, Shamsul Iskandar Md Akil serta pemimpin juga hadirin lain.

RAKYAT SELANGORDato’ Menteri Besar Selangor itu menjelaskan PAKATAN telah membuktikan kewibawaan dalam pentadbiran dengan Selangor dan Pulau Pinang sebagai contoh untuk penilaian rakyat dalam membuat keputusan pada pilhan raya umum ke 14 (PRU14) akan datang.

Katanya, konvensyen diadakan itu amat penting bagi parti sebelum menghadapi Kongres KEADILAN pada 20 dan 21 Mei akan datang dengan persiapan cukup rapi dibuat di peringkat cabang, ranting serta yang lain berikutan PRU14 bakal menjelang dalam tempoh singkat.

“Rakyat meletakkan harapan cukup besar kepada kita semua iaitu satu amanah digalas bagi menyelamatkan negara juga rakyat keseluruhannya.

“Kalau kita lihat suasana hari ini, KEADILAN dan anggota dalam PAKATAN mempunyai potensi cukup menyakinkan bahawa inilah masanya rakyat akan dinobatkan di Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

=EZY=