Categories
NASIONAL WANITA & KEBAJIKAN

Kebijaksanaan dan muafakat formula bentuk keluarga harmoni

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 23 APRIL: Peranan lelaki dinyatakan sebagai individu yang lebih perkasa berbanding kekuatan wanita bukanlah jaminan keharmonian dalam keluarga itu boleh dipupuk.

Sebaliknya, Pengerusi Angkatan Belia Islam (ABIM) Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, usaha untuk mengimarahkan permuafakatan dalam institusi kekeluargaan bergantung kepada kebijaksanaan lelaki sebagai ketua keluarga dalam mencorak pembangunan kekeluargaan itu.

Katanya, usaha itu turut disokong peranan isteri secara bersama untuk memberi pendidikan lengkap kepada anak-anak berpandukan ajaran Islam sebenar.

“Berkait isu kepimpinan dalam keluarga, adakah lelaki yang sinonim sebagai individu kuat dan perkara membolehkan kekerasan dilakukan untuk mendidik?

“Ia sebenarnya terletak kepada figura dan peranan seorang bapa seperti yang sudah dinyatakan dalam Al-Quran dan sunnah.

“Watak inilah penting kepada pembinaan sesebuah keluarga yang baik seiring sokongan dan peranan bijak dimainkan ibu bapa dan anak-anak itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada penganjuran Seminar Mawar yang membincangkan isu kesihatan mental dan keluarga di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Taman Melati, di sini.

Katanya lagi, usaha untuk membangunkan pembinaan lahiriah anak-anak juga sepatutnya tidak dipertanggungjawabkan kepada peranan guru-guru di sekolah semata-mata.

Katanya, ia sewajarnya dimainkan secara bersama semua pihak ke arah menstabilkan kembali perkembangan positif sosial anak-anak kini.

Terdahulu, Penganjuran seminar kekeluargaan Mawaddah Wa Rahmah (MAWAR) dianjurkan sebagai inisiatif ABIM mendukung hasrat pembangunan institusi kekeluargaan di negara ini.

Seminar turut menampilkan, Profesor di Jabatan Perubatan Psikologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Nor Zuraida Zainal dan pendakwah bebas, Zamri Zainal Abidin.

=EZY=