Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Mental ibu bapa terjejas, jika benar telefon dibawa ke sekolah – Dr Pakar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 23 APRIL: Cadangan membenarkan pelajar dibolehkan membawa peranti telefon bimbit ke sekolah hanya mengundang permasalahan negatif dalam kalangan pelajar.

Lebih memburukkan, Profesor di Jabatan Perubatan Psikologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Nor Zuraida Zainal berkata, situasi itu juga bakal mengundang kesakitan mental kepada ibu bapa.

“Cadangan itu hanya akan menyebabkan kesihatan mental ibu bapa terganggu kerana mereka akan bertambah risau tentang persekitaran baru anak-anak mereka sekiranya (cadangan) itu dilaksanakan.

“Apabila kerisauan itu semakin bertambah juga, hubungan ibu bapa dan persekitaran mereka akan terjejas kerana kebimbangan itu dibawa keluar,” katanya juga yang pakar psikiatri.

Beliau berkata demikian pada Seminar Mawar yang membincangkan isu kesihatan mental dan keluarga di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Taman Melati, di sini.

Terdahulu, wujud saranan di peringkat Kementerian untuk membenarkan pelajar menggunakan alat peranti seperti laptop, tablet dan telefon bimbit di sekolah untuk tujuan pembelajaran.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penggunaan alat itu bagi tujuan Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam kelas mengikut masa dan subjek yang akan ditetapkan kementerian.

Katanya, cadangan itu bagaimanapun belum dimuktamadkan kerana kementerian perlu mengkaji cadangan itu secara terperinci sebelum melaksanakannya.

Bagaimanapun, cadangan itu menimbulkan pelbagai reaksi umum sekiranya ia dilaksanakan untuk tempoh terdekat ini.

=EZY=