Categories
PBT SELANGOR

Konsisten perkhidmatan ‘kelas dunia’, MPAJ rai 65 kakitangan cemerlang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 13 APRIL: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) meraikan 65 kakitangannya atas prestasi cemerlang sepanjang 2016 pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Hotel Flamingo, Ampang di sini, malam tadi.

Pengiktirafan diberikan menerusi tiga kategori utama iaitu Anugerah Khidmat Cemerlang 2016, Anugerah Khas 2016 dan Penghargaan Persaraan Kakitangan MPAJ.

Majlis diserikan dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Yang Dipertua MPAJ; Abd Hamid Hussain dan Setiausaha MPAJ, Hasrolnizam Shaari.

Menzahirkan penghargaan kepada penerima anugerah, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri konsisten mendukung peranan dimainkan penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Azmin MPAJ“Saya mengambil peluang ini untuk menyatakan sokongan dan dokongan Kerajaan Negeri kepada warga kerja, pegawai dan anggota Kerajaan Negeri di seluruh Selangor yang memberi perkhidmatan cemerlang, terbaik dan profesional.

“Diharap penghargaan ini menjadi pembakar semangat kepada semua untuk lebih berdaya saing menjalankan tugas masing-masing,” katanya pada majlis perasmian.

Penerima anugerah cemerlang menerima sijil, cenderamata dan hadiah prestasi sebanyak RM1,000.00 seorang.

Bagaimanapun Mohamed Azmin berkata, penghargaan diberikan seharusnya menjadi sumbang saran kepada semua penjawat awam khususnya kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini untuk lebih kompeten memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

“PBT merupakan agensi yang paling dekat dengan masyarakat dan sebagai negeri paling maju di Malaysia, PBT tidak terkecuali memegang amanah daripada rakyat terhadap mutu kualiti perbandaran.

“Tuntutan rakyat terhadap pengurusan PBT ini mesti menjadikan pengurusan PBT perlu berada pada kelas terbaik dan bersatus kelas pertama bagi memenuhi aspirasi rakyat dan Kerajaan Negeri,” katanya.

=EZY=