Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KPKT digesa bantu pangsapuri kos rendah tubuh JMB

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa memberi penekanan membantu pangsapuri kos rendah menubuhkan badan pengurusan bersama (JMB).

Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan (PJS), Hee Loy Sian berkata, pangasapuri kos rendah berhadapan masalah menubuhkan JMB, sekali gus menyukarkan mereka mengutip caj penyelenggaraan.

“Bagaimana kerajaan boleh bantu memberikan elaun bagi menggalakkan JMB melakukan tugas terutama pengerusi, bendahari atau setiausaha?

“Kita kena beri penekanan kepada pangsapuri kos rendah kerana selama ini KPKT tidak dapat menyelesaikan masalah ini. Banyak pangsapuri kos rendah tidak dapat tubuh JMB dan kos kutipan tidak dapat dilakukan.

“Jangan harap JMB boleh bawa mereka yang tidak membayar caj penyelenggaraan ke mahkamah kerana tidak mampu ambil peguam,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

HEESementara itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dalam jawapannya berkata, JMB boleh mengambil tindakan kepada pemilik yang gagal membayar caj penyelenggaraan di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

Katanya, tindakan undang-undang tidak semestinya dilakukan menerusi mahkamah semata-mata tetapi ia boleh dibawa ke Tribunal Pengurusan Starata.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan turut bertanggungjawab kerana mereka adalah agensi yang mengutip cukai.

“Kalau Pesuruhjaya Bangunan (COB) dapati mana-mana JMB tidak mampu menguruskan kediaman mereka, COB boleh melantik agen bagi menguruskan rumah kos rendah seperti yang dibuat di beberapa tempat di Selangor,” katanya.

-AA-