Categories
PBT SELANGOR

Kukuh agenda Smart Selangor, MPAJ laksana sistem bayar parking atas talian

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 26 APRIL: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memperkenalkan aplikasi parkir menggunakan kaedah telefon pintar sebagai pendekatan terbaru pembayaran tempat letak kenderaan di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussein berkata, pendekatan itu dilaksanakan sebagai kaedah berkesan kepada pengguna untuk membuat pembayaran melalui kaedah atas talian, bermula Mei ini.

Katanya, pelaksanaan sistem itu juga diyakini mampu meningkatkan hasil pihak berkuasa tempatan (PBT) serta selari dengan agenda Smart Selangor untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat.

“Pembangunan projek ini dimulakan menerusi perancangan bersama MPAJ dan sebuah syarikat swasta bagi tujuan memudahkan pengguna membuat pembayaran tempat letak kenderaan secara mudah menggunakan aplikasi atas talian.

“Sistem dinamakan sebagai Sistem Smart Parking MPAJ ini dilaksanakan kepada masyarakat setempat yang boleh dimuat naik secara percuma di Google Apps dan Play Store.

“Kaedahnya mudah apabila pengguna boleh membuat penambahan kredit menerusi aplikasi ini untuk menggunakan perkhidmatan tempat letak kenderaan di kawasan pentadbiran MPAJ ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Aplikasi Parkir Telefon Pintar MPAJ, di bangunan MPAJ di sini, pagi ini.

Namun Abdul Hamid berkata, sistem pembayaran menerusi kaedah kupon diteruskan di seluruh kawasan pentadbiran pihak majlis.

Katanya, ia diteruskan sebagai jaminan kepelbagaian dan kemudahan berterusan kepada masyarakat dan penguruan pihak majlis.

“Namun, aplikasi ini juga turut membolehkan pihak majlis mengenalpasti dan membuat semakan terhadap mana-mana kenderaan yang melebihi tempoh bayaran letak kenderaan di sesebuah kawasan parkir.

“Ini juga boleh menjadi panduan kepada pengguna dan pihak majlis untuk memantau kenderaan yang diletakkan di kawasan letak kenderaan MPAJ,” katanya.

Untuk rekod, MPAJ merupakan PBT kedua melaksanaan sistem sama selepas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang sebelum ini membangunkan perisian Sistem Flexi Parking.

Terdahulu, MPAJ menyediakan kemudahan 14,000 tempat letak kenderaan di seluruh kawasan pentadbirannya.

=EZY=