Categories
AGAMA SELANGOR

LZS kini urus mualaf pastikan khidmat lebih efektif

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 11 APRIL: Pengurusan agihan, bantuan kebajikan dan pendidikan bagi muallaf di Selangor diserahkan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bermula 1 April.

Menurut laman rasmi LZS, ia merupakan salah satu inisiatif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi memperkasakan pengurusan zakat di negeri ini.

“Pemindahan urusan agihan dan bantuan tersebut bertujuan bagi penyelarasan dan penjajaran semula fungsi dan aktiviti asnaf muallaf dengan lebih efisien.

“Ia juga bagi mengatasi permasalahan pertindihan tugas serta menambah baik sistem perkhidmatan pelanggan yang sedia ada,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya lagi, Pemindahan urusan agihan dan bantuan direalisasikan dengan pewartaan terhadap pindaan dalam Peraturan-peraturan Pendaftaran, Penjagaan dan Pengajaran Muallaf (Negeri Selangor)(Pindaan) Tahun 2017 dalam warta Kerajaan Negeri Selangor Sel. P.U 10 Jil. 70 No. 6 Tambahan No.7 Perundangan pada 16 Mac 2017.

“Pindaan peraturan tersebut selaras dengan pemberian kuasa oleh MAIS kepada LZS bagi menguruskan hal ehwal muallaf,” katanya.

Difahamkan, urusan agihan dan bantuan kepada muallaf yang sebelum ini dikendalikan oleh MAIS akan diselaraskan serta diuruskan oleh LZS yang mempunyai 27 cawangan di seluruh Selangor.

Manakala proses pendaftaran dan pengislaman masih diuruskan oleh MAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah selaras dengan peruntukan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

=EZY=