Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Majikan wajib beri cuti 24 April

PUTRAJAYA 12 APRIL: Majikan wajib memberi cuti kepada pekerja pada 24 April ini sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, kerajaan Persekutuan telah mengisytiharkan 24 April sebagai hari kelepasan am sempena pertabalan Seri Paduka di mana cuti itu telah diisytiharkan mengikut Seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951 dan diwartakan pada 3 April.

“Oleh itu, cuti ini adalah termaktub sebagai hari cuti umum yang wajib diberi kepada pekerja menurut Seksyen 60D (1) (b) Akta Kerja 1955,” katanya dalam kenyataan, lapor BERNAMA.

Riot berkata, berdasarkan Seksyen 60D (1A) Akta Kerja 1955 itu, majikan boleh menggantikan hari lain sebagai cuti ganti umum bergaji.

“Majikan dikehendaki memberitahu pekerja mereka sama ada memilih tarikh 24 April sebagai hari cuti umum atau menggantikannya dengan tarikh lain.
“Sekiranya tiada penggantian hari lain, pekerja yang bekerja pada tarikh tersebut layak menerima kadar gaji bagi cuti umum,” katanya.

Riot berkata, memandangkan 24 April adalah cuti umum negeri sempena hari Israk dan Mikraj di Kedah, Negeri Sembilan dan Perlis, majikan yang memilih hari Israk dan Mikraj sebagai cuti umum di syarikat mereka perlu mematuhi kehendak Seksyen 60D(1)(b)(ii) Akta Kerja 1955.

Seksyen itu menyatakan apabila cuti umum jatuh pada 1 hari cuti umum yang lain, maka hari kerja berikutnya hendaklah diisytihar sebagai hari cuti umum bergaji, katanya.

“Dengan itu, 25 April adalah hari cuti umum negeri bagi Kedah, Negeri Sembilan dan Perlis,” katanya.

=EZY=