Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pesawah harap Kerajaan Negeri dikekalkan demi kebajikan rakyat

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 7 APR: Bantuan pantas Kerajaan Negeri menghulur peruntukan RM8.5 juta bagi pesawah yang terkesan serangan penyakit hawar daun (BLB) ternyata membawa kelegaan.

Bercakap kepada Selangor Kini, anak jati Sungai Besar, Mohd Yusof Mohd Tahir, 75, berkata, beliau berpuas hati dengan keprihatinan ditonjolkan kerajaan pimpinan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali itu.

“Dengan adanya bantuan seperti ini, dapat kurangkan beban selain memberi semangat untuk bangkit terus mengusahakan sawah yang sebati dengan jiwa kami ini.

PESAWAH SABAK BERNAM (3)“Apa yang diharapkan, Kerajaan Negeri sedia ada ini dikekalkan dan jangan bertukar demi kebajikan rakyat,” katanya yang kerugian hampir empat tan metrik padi akibat BLB, pada musim lalu.

Turut bersetuju, Saadiah Samdin, 63, yang menyifatkan BLB memberi kesan besar kepada hasil pendapatannyayang bergantung penuh kepada hasil padi.

“Kebiasaannya kami dapat hasil sehingga tujuh atau lapan tan tetapi hasil merosot sehingga 60 peratus ketika serangan BLB.

“Dengan bantuan Kerajaan Negeri, ia dapat membantu kami yang buntu ke mana harus dituju dengan masalah menimpa ini,” kata nenek kepada 13 cucu itu.

Sementara itu, Siti Rohani Salleh, 65, mengakui sumbangan Kerajaan Negeri itu satu-satunya bantuan yang diterima sehingga kini.

“Sejak BLB menyerang empat bulan lalu, inilah bantuan yang saya dapat, jadi sangat berterima kasih dengan Dato’ Menteri Besar.

“Diharap bantuan terhadap pesawah dapat diteruskan pada masa akan datang supaya dapat meningkatkan hasil seterusnya taraf ekonomi kami di luar bandar,” katanya yang menetap dan mengusahakan sawah di Sungai Dorani.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menyampaikan bantuan kewangan RM960 bagi setiap lot kepada 8,953 pesawah yang terjejas dengan BLB.

-NFN-